10 Koleksi Resepi Masakan Ayam Mudah Dan Cepat

Hi semua! Kepada penggemar masakan berasaskan ayam pasti tercari-cari resepi mudah, cepat dan pelbagai untuk masakan seharian. Menu hidangan ayam memang menjadi pilihan sebab mudah didapati di negara kita. Tambahan pula ada yang makan ayam sahaja dan tidak makan ikan! 


Jadi, Kak Bell kongsikan 10 koleksi resepi lauk pauk berasaskan ayam yang mudah dan sedap untuk anda semua cuba. Nak lain macam sikit boleh cuba resepi istimewa seperti Resepi Ayam Seaweed Salted Egg atau Resepi Ayam Masak Borneo. Selamat mencuba!


1) Resepi Ayam Tanpa Goreng Masak Kicap Pekat

Menu masakan ayam yang paling mudah semestinya resepi ayam masak kicap simple. Asalkan ada ayam, bahan tumis dan kicap, jadilah menu ayam masak kicap. Untuk lebih mudah, resepi ayam tanpa goreng masak kicap pekat ini ayamnya tak payah di goreng terlebih dahulu. Cuma nanti pastikan ayamnya dah masak dan matang serta kuahnya pekat. Boleh sahaja tambahkan suhun, tauhu kering, lada hijau dan daun sup ikut kegemaran masing-masing. Memang mudah kan nak buat ayam masak kicap tanpa goreng ni.


Bahan-bahan
10-12 ketul ayam (dipotong kecil)
1/2 labu bawang besar*
3 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
Cili padi* (ikut suka banyak mana)
2 sudu makan kicap pekat
2 sudu makan kicap manis
3 sudu makan sos cili
1 sudu makan sos tiram
1 keping asam keping
Serbuk perasa, gula, garam
Air secukupnya
*kisar bahan bertanda

Cara memasak:
1) Tumis bahan-bahan kisar hingga terbit bau dan pecah minyak.
2) Masukkan kicap pekat, sos tiram, sos cili, sos tomato, kicap manis serta sedikit air.
3) Kacau dan biarkan mendidih sebentar.
4) Kemudian masukkan ayam dan asam keping.
5) Kacau sebati. Perasakan dengan garam dan sedikit gula.
6) Tutupkan api bila ayam dah masak dan kuah menjadi pekat.

Kredit Aku Sis Lin



2) Resepi Ayam Pindang Mudah Dan Sedap

Kebiasannya resepi masakan ayam singgang atau ayam pindang ni memang sesuai sangat untuk orang yang tengah diet atau dalam pantang selepas bersalin. Kalau kita kurang sihat, lauk ini memang wajib dicuba. Selain menggunakan ayam boleh sahaja digantikan dengan ikan dan singgang ayam ini tanpa lengkuas. Kalau nak kuah pindang putih, tidak perlu masukkan kunyit dan bahan-bahannya tidak perlu ditumis.


Bahan-bahan
1/4 ekor bahagian ayam
1 biji bawang Holland (dihiris)
3 ulas bawang putih (diketuk)
3 batang serai (diketuk)
2 keping asam gelugor
Sedikit cili padi/merah
2 biji tomato (potong 4)
1 inci kunyit (diketuk)
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

Cara memasak:
1) Masukkan air ke dalam periuk. Jika hendak berkuah lebihkan air.
2) Masukkan kesemua bahan dan panaskan periuk.
3) Biarkanmendidih dan tambah garam dan gula secukup rasa

Kredit Amir Nawawi



3) Resepi Ayam Masak Hijau

Sambal hijau sememangnya terkenal kerana kepedasannya. Resepi ayam masak sambal hijau sedap ini di antara resepi kegemaran Kak Bell dan menjadi resepi all time paling banyak caraiannya di internet. Ramai juga yang berkongsi resepi asalnya dan terima kasih pada yang berikan kredit! Kalau anda dah bosan makan nasi berlaukkan ayam goreng dan ayam masak merah, apa kata kali ini buat ayam masak sambal hijau pulak. Konfem terangkat!


Bahan A
6 ketul ayam
2 batang serai|diketuk
1 labu bawang besar |hiris kasar
2 biji limau kasturi
Minyak masak
Serbuk kunyit
Garam secukupnya

Bahan B (bahan kisar)
7 biji cili hijau
7 biji cili api hijau
5 ulas bawang merah
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara memasak:
1) Gaulkan ayam dengan kunyit dan sedikit garam. Goreng hingga masak atau separuh masak.
2) Tumis bahan kisar dan serai yang dititik sehingga wangi dan pecah minyak. Pastikan bahan kisar ditumis hingga betul- betul masak.
3) Kalau nak berkuah, tambahkan sedikit air.
4) Masukkan ayam dan perasakan dengan garam.
5) Kacau rata dan tunggu sampai kuah sedikit kering.
6) Masukkan bawang besar dan kacau rata.
7) Kalau pedas sangat bolehlah tambah sedikit gula.
8) Bila bawang dah layu, perahkan limau kasturi dan bolehlah padamkan api.

Kredit Bella Jamal (klik untuk gambar)



4) Resepi Rendang Ayam Pencen Guna Serbuk Rendang Adabi

Bagi penggemar menu masakan menggunakan ayam pencen, ayam kampung atau ayam tua, penyediannya akan memakan masa kerana dagingnya yang liat. Ada beberapa petua dan cara untuk melembutkan ayam pencen seperti rebus ayam dengan lada hitam dan halia, gunakan beberapa keping tempurung kelapa, memasukkan seruas tebu, masukkan daun nangka, masukkan beberapa batang sudu dan sebagainya.


Untuk resepi ini kita gunakan pressure cooker supaya lebih mudah dan cepat. Resepi Rendang Ayam Pencen ni juga tanpa menggunakan santan dan gunakan produk Adabi iaitu Serbuk Rendang Adabi, Cili Giling Adabi dan Asam Jawa Xtra Adabi.

Bahan A
1 ekor ayam pencen 
*(direbus dalam Pressure Cooker)
3 serangkai 
*(bunga lawang, buah pelaga dan kayu manis)
4 sudu - Cili giling adabi
1 paket serbuk rendang adabi
1 paket kerisik
1 sudu asam jawa xtra adabi
Minyak masak
Sedikit garam
Maggi secukup rasa

Bahan B (hiris dan dikisar)
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci kunyit
1 inci lengkuas
1 inci halia
2 batang serai

Cara memasak:
1) Panaskan minyak di dalam kuali
2) Masukkan semua bahan B dan tumis hingga semua bahan garing
3) Masukkan cili giling, serbuk rendang dan kerisik gaul rata.
4) Kemudian masukkan ayam dan masak sehingga empuk.
5) Setelah empuk masukkan asam jawa xtra, garam dan secukup rasa maggi
6) Kacau rata, tutup api dan angkat untuk dihidangkan.

Kredit Bonde Zaidalifah



5) Resepi Ayam Seaweed Salted Egg

Buat anda yang dah jemu dengan masakan ayam yang biasa, boleh cuba menu ayam yang menggunakan perisa salted egg dan seaweed. Untuk periasa salted egg, korang boleh cuba Golden Salted Egg Seasoning dari jenama Bestari. Tambahan pula ada seaweed memang menambahkan lagi keenakan menu ni. Memang sumpah sedap!


Bahan-bahan
Isi ayam
Bawang putih
Cili api
Daun kari
Seaweed
Salted egg seasoning
Butter (untuk menumis)

Cara memasak:
1) Goreng ayam terlebih dahulu
2) Panaskan butter dalam kuali
3) Tumis bawang putih, cili api, daun kari
4) Masukkan salted egg seasoning
5) Masukkan ayam
6) Masukkan seaweed
7) Tutup api & sedia dihidang

Kredit Bebelan Cik Min



6) Resepi Ayam Sprite Sos Tiram Filipina

Minuman bersoda memang tak lazim untuk dimasak bersama ayam di Malaysia. Namun siapa sangka Resepi Ayam Sprite Sos Tiram ini cukup popular di Filipina. Resepi ayam yang dicampurkan dengan minuman bersoda Sprite ini ada kombinasi rasa macam masakan ayam kicap sebab gunakan sos tiram dan kicap soya. Soda dapat berfungsi untuk membuat ayam lebih empuk dan hidangan ni sahaja pun dah cukup sebab dah ada ayam dan juga sayur seperti kentang dan lobak. Ayam Sprite sos tiram ini memang memiliki cita rasa yang sedap.


Bahan A
8 bahagian ayam
1 tin Sprite 320ml
1 sk garam
1 sk gula
1 sb serbuk lada hitam kasar
1 kiub ayam

Bahan B
1 sb sos tomato
3 sb sos tiram
2 sb kicap soya
Daun bawang
Minyak masak

Bahan C
1 biji kentang*
1 batang lobak*
1 biji bawang Holland/Bombay**
5 ulas bawang putih**
*potong dadu besar
**hiris besar

Cara memasak:
1) Masukkan semua bahan A dalam mangkuk dan perap selama 30 minit.
2) Panaskan sedikit minyak dan bakar ayam hingga keemasan. Kuah perapan diasingkan dan disimpan.
3) Masukkan bawang putih dan tumis seketika.
4) Kemudian masukkan lobak dan kentang yang telah dipotong dadu, biarkan seketika.
5) Masukkan kuah perapan tadi dan biarkan hingga ayam masak dan bahan lain empuk.
6) Tambahkan sos tiram, sos tomato dan kicap soya. Kacau rata.
7) Masukkan hirisan bawang Holland, kacau dan tutupkan kuali/periuk hingga semua bahan matang.
8) Angkat masakan dan taburkan daun bawang untuk dihidangkan.

Kredit Bella Jamal (klik untuk gambar dan tips)



7) Resepi Ayam Masak Thai

Resepi Ayam Masak Thai nie mudah dan ringkas je korang. Tak banyak bahan pun sangat. Jika nak lebih pedas boleh lebihkan bilangan cili apinya. Rasa masakan Ayam Masak Thai ini, memang sedap bercampur rasa pedas original Thai dan sangat sesuai dinikmati semasa waktu berbuka puasa nanti.


Bahan A
10 ketul bahagian ayam (digoreng)
1 biji bawang besar (potong bulat)
2 batang serai dititik
2 sudu sos tiram
2 sudu sos cili
1/2 kiub ayam Knor
Sedikit daun limau purut
Sedikit air
Minyak untuk menumis
Garam secukup rasa

Bahan B
3 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
5 biji cili merah
3 biji cili hijau
2 biji cili api

Cara memasak:
1) Tumis serai yang dititik sehingga naik bau.
2) Masukkan hirisan bawang dengan daun limau purut dan tumis sampai garing.
3) Kemudian masukkan bahan kisar tadi kacau sehingga bergaul mesra.
4) Masukkan sos tiram, sos cili dan sedikit air. Kacau rata
5) Akhir sekali masukkan ayam yang dah digoreng tadi.
6) Perasakan dengan garam dan sedia untuk dihidangkan.

Kredit Shuhaida Kabdy



8) Resepi Asam Pedas Ayam Sawi Jeruk

Korang pernah masak atau makan asam pedas ayam letak sawi jeruk atau dikenali dengan Pak Choy? Kebiasaannya Asam Pedas Johor memang menggunakan sawi jeruk ni. Untuk masakan asam pedas ni orang selalu gunakan ayam, ikan pari, mayong, tongkol, duri atau baung. Terpulanglah pada citarasa masing-masing!


Bahan-bahan
Ayam
Sawi jeruk
Bawang putih dihiris
Bawang besar di hiris
Halia kisar
Kunyit yang telah dikisar
Cili boh yang ada asam
Daun kesum
Belacan ditumbuk
Serai dititik
Bunga kantan
Pes asam pedas instant
Gula
Garam
Air secukupnya

Cara memasak:
1) Ayam diperap dengan cili boh dan garam sedikit. Ketepikan terlebih dahulu.
2) Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bawang putih, bawang merah, halia dan kunyit hingga naik bau dan keperangan.
3) Kemudian masukkan cili boh, biarkan masak sehingga pecah minyak.
4) Masukkan daun kesum, bila daun kesum dah layu masukkan belacan dan serai.
5) Masukkan pes asam pedas instant dan sedikit air, kacau rata dan biarkan mendidih.
6) Masukkan ayam dan dibiarkan sehingga ayam separuh masak.
7) Tambahkan sawi jeruk, kemudian masukkan bunga kantan dan gula.

Kredit Diary Mama



9) Resepi Ayam Masak Borneo

Untuk bahan ayam, dicadangkan guna bahagian kepak kesemuanya. Kalau tak ada boleh sahaja gunakan bahagian lain tapi potong kepada bahagian yang lebih kecil. Dalam masakan ni, korang guna cili padi hijau. Kicap pula mesti gunakan Kicap Manis Cap Kipas Udang ye, baru afdal masakan korang sebab kita nak ada rasa manis kicap dan pedas cili tu nanti.


Bahan A
7 ketul bahagian kepak ayam
2 biji bunga lawang
2-3 batang kulit kayu manis
2 batang serai (diketuk)
2 sudu sos cili
Kicap manis cap kipas udang
Air asam jawa
Garam
Perasa kesukaan

Bahan B (bahan kisar/tumbuk)
3 sudu cili kisar *stok dah siap awal
10 biji cili api hijau
6-7 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas

Cara memasak:
1) Tumbuk/kisar semua bahan B sederhana hancur/lumat.
2) Panaskan minyak, tumis kulit kayu manis dan bunga lawang sampai naik bau.
3) Masukkan serai yang telah diketuk biar sekejap.
4) Masukkan 3 sudu cili kisar dan tumis hingga masak dan pecah minyak (Jika tiada stok rebus dalam 10 biji cili kering).
5) Masukkan ayam dalam kuali dan biarkan hingga air ayam keluar.
6) Kemudian masukkan air sehingga ayam tenggelam dan biarkan mendidih.
7) Masukkan kicap manis cap kipas udang secukupnya, 2 sudu sos cili dan air asam jawa.
8) Perasakan dengan sedikit garam dan perasa jika suka.
9) Keluarkan kulit kayu manis dan bunga lawang tadi.
10) Biarkan kuah kering sedikit dan boleh tutupkan api.

Kredit Bella Jamal (klik untuk gambar dan langkah memasak)



10) Resepi Ayam Masak Bali

Cara memasak sama seperti cara memasak ayam masak merah. Kelainannya adalah pada penggunaan jumlah serai yang lebih banyak dan juga daun kari yang dimasukkan semasa menumis. Pertama kali rasa masakan ni, ingatkan kena campurkan serbuk kari tetapi tidak. Rasa daun kari dan bau serai memang memberikan rasa yang berbeza pada masakan ni.


Bahan A
10 ketul bahagian ayam
5 batang serai(dititik)
5 tangkai daun kari
2 sudu besar kicap manis
Cili kisar
Minyak masak
Serbuk kunyit
Gula melaka
Gula pasir
Garam

Bahan B (bahan kisar)
3 biji bawang besar
4 biji bawang merah
7-10 ulas bawang putih
2 inci halia
1 inci belacan

Cara memasak:
1) Gaulkan ayam dengan serbuk kunyit dan garam dan gorengkan hingga separuh masak dan ketepikan.
2) Tumis serai sehingga berwarna sedikit coklat.
3) Kemudian masukkan daun kari dan tumis hingga naik bau dan garing (pastikan tak hangit).
4) Masukkan cili kisar dan Bahan B, masak sehingga pecah minyak.
5) Masukkan ayam, kicap manis, gula melaka dan garam secukupnya.
6) Tambahkan sedikit gula pasir untuk kurangkan rasa pedas.
7) Tambahkkan sedikit air untuk lebihkan kuah dan kacau hingga kuah pekat.

Kredit Bella Jamal (klik untuk gambar dan tips)



Semasa siapkan artikel ni, ternampak gambar dan resepi sendiri yang digunakan untuk beberapa buah portal resepi. Terima kasih kepada pihak yang memberikan kredit. Tetapi ada juga portal mana entah, suka-suki mengambil gambar tanpa kebenaran dan kebanyakkan artikelnya memang copy paste sahaja. Begitulah bila orang nak senang sedangkan kita ni cuba masak sendiri sebelum dikongsi pada orang ramai kan! Walau apa-pun selamat mencuba kesemua resepi berasaskan ayam ni ya.

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment

Back
to top