Resepi Sambal Berlado Tempe Ikan Bilis Goreng Kemangi

Tempe adalah makanan tradisional sinonim dengan masyarakat Jawa dari Indonesia. Tempe yang diperbuat daripada kacang soya ini memang dah terkenal di Asia Tenggara termasuklah di negara kita. Kalau anda nak tahu, tempe ini dicipta tanpa sengaja apabila seorang pengusaha tauhu berbangsa Cina dengan tidak sengaja menumpahkan ragi beras ke dalam kacang soya yang sudah dimasak. Apabila dia melihat rupa kacang soya yang berkulat itu, dia terus goreng dan mencubanya. Ternyata rasanya enak dan dinamakan tempe.


Terdapat pelbagai resipi berasaskan tempe boleh dijadikan hidangan lazat sebagai pembuka selera. Tempe boleh dibuat goreng, dimasukkan sekali bersama sayur masak lemak atau dibuat sambal goreng jawa. Sebelum ini pun Kak Bell dah ada kongsikan sebanyak 7 resepi menggunakan tempe. Nanti boleh rujuk di bahagian bawah resepi ni jikalau hendak melihat resepi tempe yang lain.

Kalau zaman dulu jika pergi ke kedai, tempe akan dibungkus dengan daun pisang atau kertas. Tapi sekarang bila dah dibalut menggunakan plastik, dah menghilangkan haruman asli tempe. Tempe pun tak boleh disimpan terlalu lama waima di simpan di dlam peti ais. Biasa dalam 3 hari tempe akan masih segar sebelum naik kulat berwarna kehitaman dengan bau yang busuk.


Untuk resepi tempe kali ini, Kak Bell perolehi dari kawan Chef Didi. Resepi tempe menggunakan sambal hijau dengan ikan bilis yang digoreng rangup ditambah pula dengan daun kemangi dan bunga kantan. Bagi yang tak tahu kemangi tu apa, bahasa omputehnya daun basil. Bagi masakan ni kita gunakan Basil Thai. Kemangi dan hirisan bunga kantan yang digunakan akan memberikan aroma yang sangat wangi dalam hidangan ni.

Bahan A (kisar kasar)
6 biji lada hijau
15 biji cili padi hijau
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan B
2 paket tempe
Segenggam ikan bilis
1 paket daun kemangi (Basil Thai)
2 biji tomato (belah 4)
Hirisan bunga kantan
Garam dan perasa
Sedikit gula

Cara masak:
1) Kisar kasar semua bahan A.



2) Goreng garing tempe dan ikan bilis secara berasingan.


3) Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan A hingga garing/masak.


4) Masukkan hirisan bunga kantan dan daun kemangi, kacau seketika.



5) Akhir sekali masukkan tempe, ikan bilis yang telah digoreng dan gaulkan rata.


Ada ke yang pernah mencuba resepi ni? Kak Bell confirm memang terangkatlah menu ni. Menu yang simple dengan sambal berlado tempe, makan dengan nasi putih sahaja pun sudah memadai. Untuk resepi tempe yang lain, boleh klik di bawah:

Resepi Kobis Cina Tumis Dengan Tempe
Resepi Tempe Dan Tauhu Goreng
Resepi Ayam Goreng Kunyit Dengan Tempe
Resepi Sayur Goreng Jawa
Resepi Tempe Goreng Malas
Resepi Masak Lodeh


Selamat mencuba!

CONVERSATION

2 comments:

  1. Wahhh... Hari tu jiran ade bagi sayur kemangi ni. Bolehlah try resepi sedap ni.. Tq Kak Bell..

    ReplyDelete

Back
to top