Resepi Rendang Ayam Cili Api Hijau

Hi semua! Hampir seminggu juga Kak Bell tak kongsikan resepi. Dalam minggu terakhir ini, memang jarang sekali Kak Bell memasak. Bulan puasa pun cuma berbaki 2 hari sahaja lagi sebelum hari Raya Aidilfitri. Bercakap tentang persiapan raya, memang Kak Bell tidak menyediakan apa-apa pun untuk raya kali ini. Kuih raya pun cuma beli 2 jenis dan tak membeli pun baju raya. Pakai sahaja lah baju yang ada, kebetulan Kak Bell pun bekerja tahun ini.


Dalam tidak bersedia untuk raya yang akan datang, bila mendengar kawan-kawan dah mula bercerita menu raya terus Kak Bell mengidam nak makan rendang. Jadi malam ini Kak Bell gigih memasak rendang walaupun esok belum raya. Anak tekak mengidam punya pasal!


Memasak rendang tidaklah sesusah mana. Cuma nak menyediakan bahan-bahannya sahajalah. Sebelum ini Kak Bell cuma selalu buat rendang ayam menggunakan cili kering dan gula merah. Kali ini Kak Bell memasak rendang ayam menggunakan cili api hijau. Sepanjang hidup ni, ini baru kali kedua Kak Bell buat rendang ayam hijau ni. Jom kita lihat resepi Rendang Ayam Cili Api Hijau.


Lihat juga resepi Rendang Tok dan Rendang Ayam Gula Melaka.

Bahan A
1 ekor ayam
1 kotak kecil santan
Garam dan gula secukup rasa
1 keping asam gelugor
1 batang serai (dititik)
2 helai daun kunyit
kerisik
Minyak 
Air

Bahan B (blend)
15 biji cili padi hijau
15 biji cili padi merah
1 labu bawang besar
5 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
2 batang serai (hiris)
2 inci halia
1 inci lengkuas
2 inci kunyit hidup
**kisar dengan sedikit air sahaja

Cara memasak:
1) Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan B hingga terbit minyak/garing.
2) Kemudian masukkan ayam dan kacau rata hingga ayam kecut.


3) Tambahkan sedikit air jika perlu.
4) Masukkan santan, kerisik, asam gelugor, serai yang dititik dan perasakan dengan gula dan garam secukupnya.


5) Masak dan kacau bahan rata dengan api perlahan.
6) Masukkan daun kunyit dan kacau lagi hingga kuah kering.


TIPS!
  • Boleh masukkan daun limau purut
  • Gunakan api sederhana dan kacau selalu (teknik mereneh)
  • Boleh gunakan gula perang
  • Boleh gantikan ayam dengan daging

Untuk saiz hidangan Kak Bell kali ini hanya beberapa ketul ayam sahaja. Tetapi resepi Kak Bell kongsikan untuk seekor ayam. Guna sukatan agak-agak pun okay sahaja. Pasti menjadi punya. Selamat memasak rendang dan selamat Hari Raya!

CONVERSATION

0 comments:

Post a comment

Back
to top