Trending


Lagu Senandung Melayuku Single Terbaru Dato M. Nasir

Lagu Senandung Melayuku Single Terbaru Dato M. NasirKata-kata pujangga 'Tanah Ini Kampung Kencana' merupakan sebahagian daripada lirik dalam lagu ‘Senandung Melayuku’ yang dinyanyikan oleh M.Nasir, gubahan oleh beliau sendiri dan juga Brad Parker, manakala liriknya pula telah ditulis oleh Keon. Lagu ini telah dicipta dan dirakam pada tahun 1998 sebagai salah satu daripada 4 lagu dalam sebuah projek album antarabangsa hasil kerjasama Luncai Emas dan bekas syarikat rakaman antarabangsa, BMG. Namun pada waktu itu, atas dasar-dasar tertentu, lagu ‘Senandung Melayuku’ bersama dengan sebuah lagu lagi yang berjudul ‘I Have A Name’ , tidak berpeluang untuk dilancarkan lalu hilang tanpa ada rancangan selanjutnya.


"Oleh kerana hal-hal tertentu, projek itu terkandas. Namun, empat lagu berjaya dirakam dan salah sebuah lagu itu adalah 'Senandung Melayuku'. Ia dirakam pada 1998. “Selepas terkandasnya projek album tersebut, Luncai Emas sendiri tidak berbuat apa-apa untuk meneruskannya. Tetapi, ada di antara keempat-empat lagu itu dimuatkan dalam album kompilasi M Nasir. Sebagai contoh lagu 'Dalam' yang liriknya dihasilkan Loloq" kata Keon.

Kini, pada tahun 2022, lagu Senandung Melayuku timbul semula sebagai keluaran terbaru Luncai Emas dan single terbaru Dato’ M.Nasir. Memandangkan M.Nasir sudah lama tidak muncul dengan single baharu, pihak Luncai Emas mengambil keputusan untuk meluncurkan lagu itu di YouTube Luncai Emas Sdn Bhd.


Lirik Lagu Senandung Melayuku

Lirik Lagu Senandung Melayuku oleh M.Nasir & Brad Parker, Lirik oleh Keon.

Godaanmu padaku ratu
Di wilayah bumi Melayu
Ku damba petunjuk darimu
Bisa jadi penakluk kalbu
Tanah ini di kampung kencana
Suburkan ia dengan fatana
Biar bertempik puncak Kinabalu
Muntahan api Karakatao
Adat dan kata hilang tak mungkin hilang
Sin syin sat sini kau bersemeda
Sin syin sat sini kau berpesaka
Sin syin sat sini engkau bertanda
Sin syin sat
Simbahkan karunia
Gema sakti irama nafiri
Sin syin sat sini kau bersemeda
Sin syin sat sini kau berpesaka
Sin syin sat sini engkau bertanda


Lagu Senandung Melayuku Hasil Kerjasama Komposer Amerika Syarikat

Lagu Senandung Melayuku Hasil Kerjasama Komposer Amerika Syarikat | Dalam lagu ini Dato M.Nasir telah bekerjasama dengan Brad Parker, seorang komposer dan producer yang berasal dari Amerika Syarikat. Beliau merupakan seorang penulis yang telah banyak menyumbang kepada industri musik di sana, di mana banyak lagu tulisan beliau telah dinyanyikan oleh artis-artis popular Amerika Syarikat, seperti Cher, Richard Page, Kieran Goss dan juga artis-artis Asia seperti Andy Lau di Hong Kong dan Jaya di Filipina.


Lirik Senandung Melayuku ditulis oleh Keon, seorang penulis lirik yang tidak lagi asing dalam industri muzik tanah air. Banyak lirik yang dipena beliau dan lagu-lagu yang membawanya telah menjadi hit seperti Relaku Pujuk oleh Spider, Kejoraku Bersatu oleh Search, Joget Angan Tak Sudah oleh Jay Jay, Tunggu Aku Datang oleh Hazama , Di Bayang Awan oleh Awie, Raguku oleh ELLA dan banyak lagi.

Keon berkata “Bila diminta menulis lirik untuk lagu 'Senandung Melayuku', saya terkejut. Tak sangka dia minta saya menulis lirik lagu yang dia sendiri akan nyanyikan. “Selama bersama dan membantu kerjaya muzik beliau, saya tidak pernah meminta atau bertanya untuk menghasilkan lirik lagu buat beliau,” katanya.

Menurut Keon lagi, sebagai pencipta lagu, M.Nasir mempunyai pilihan untuk menentukan penulis lirik yang sesuai untuk lagu-lagu nyanyiannya. “Dan, kalau kita kaji kebanyakan lagu-lagu nyanyian beliau, banyak sekali liriknya dihasilkan arwah Loloq atau Rosli Khamis. “Memang beliau serasi bersama Loloq dan hal itu kita tidak boleh nafikan. Kita perlu hormati hakikat itu," katanya.

Tahun lepas, Senandung Melayuku juga telah menjadi lagu pembukaan bagi MATHNAWI, sebuah dokumentari pendidikan RTM 13 Episod terbitan Luncai Emas, yang menceritakan tentang sejarah karya- karya agung lama Tanah Melayu seperti Hikayat Hang Tuah, Syair Siti Zubaidah, Gurindam 12, Sulalatus Salatin, Bustanus Salatin, Hikayat Merong Mahawangsa , Pelayaran Abdullah dan lain-lain lagi.


Team Luncai Emas juga berpendapat , walaupun ianya bukan karya baharu , namun ia jarang didengar serta tidak diketahui peminat di luar sana . Ramai yang suka bunyian dalam lagu ini. Lagunya sedap dan diakui kehebatan kolaborasi M Nasir dan Brad Parker. Sebuah video lirik rasmi untuk single ini telah pun sedia dimuatnaikkan ke dalam laman Youtube Luncai Emas untuk tontonan semua. Lagu Senandung Melayuku juga boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Deezer, JOOX dan sebagainya. Sejak ia mula dimuat naik di YouTube pada 24 Januari lalu, maklum balas peminat sangat positif.

Luncai Emas berharap dengan rilisan lagu ‘Senandung Melayuku’ ini dapat mengubat rindu untuk semua peminat Dato’ M.Nasir dan masyarakat luar di sana yang sentiasa menyokong kerjayanya serta yang pasti sudah lama menanti karya terbarunya.

Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Post a Comment

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Previous Post Next Post