7 Idea Untuk Menyambut dan Menggamit Suasana Lebaran di Negeri Selangor dengan #PusingSelangorDulu!

SEDIH TIDAK DAPAT RENTAS NEGERI DAN DAERAH? Ini 7 Idea Untuk Menyambut dan Menggamit Suasana Lebaran di Negeri Selangor dengan #PusingSelangorDulu!


Tidak boleh pulang beraya ekoran larangan merentas negeri dalam usaha melandaikan penularan jangkitan Covid-19? Namun, ianya tidak menjadi penghalang buat umat Islam untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Di sini, Tourism Selangor menyenaraikan 7 idea untuk anda menyambut lebaran bersama orang tersayang yang dapat mengurangkan rasa sedih tidak dapat pulang ke kampung halaman. 


Walaupun tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, namun kita masih boleh menyambut lebaran di lokasi masing-masing dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Inilah 7 idea terbaik untuk anda Pusing Selangor Dulu!


1) Pengalaman Di 16 Inap Desa berdaftar di Negeri Selangor

Meluangkan masa bersama keluarga di inap desa di Negeri Selangor semasa hari raya merupakan pilihan menarik untuk dilakukan. Pengalaman di inap desa boleh didefinisikan sebagai pengalaman tinggal sebagai tetamu dengan tuan rumah tempatan dalam komuniti kampung selama beberapa hari. 


Di Negeri Selangor, terdapat 16 inap desa yang berdaftar yang boleh dikunjungi dan dalam pada masa yang sama memberi ruang kepada penginap untuk mengenali budaya dan melakukan aktiviti yang menarik antaranya seperti di Homestay Banghuris, Homestay Kampung Sungai Sireh, Homestay Sungai Haji Dorani dan banyak lagi!


2) OOTD sambil berbaju ‘Raya’ di Kawasan Kampung di Negeri Selangor

Terasa rindu pada pemandangan kampung halaman? Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor contohnya di Sekinchan, Sungai Besar dan Tanjong Karang mempunyai pemandangan sawah padi yang terbentang menghijau seluas pemandangan. 


Tambahan pula, Daerah-daerah ini mempunyai pelbagai tempat menarik untuk mengambil gambar dengan adanya kawasan kampung tradisi, sawah padi yang terbentang luas, rumah-rumah kampung tradisi, ladang buah-buahan, ladang kelapa dan bangunan bersejarah.


3) Tenangkan Fikiran, Indahnya Suasana Pantai

Pasti ramai yang gemar menikmati suasana pantai dan pemandangan laut. Negeri Selangor mempunyai pantai yang cantik setanding dengan pantai-pantai di lokasi lain. 


Pantai juga merupakan lokasi yang sering dikunjungi pada sebelah petang di mana cuacanya lebih tenang diiringi langit yang indah membiru. Anda boleh berkunjung ke Pantai Morib dan Pantai Kelanang di Daerah Kuala Langat, Pantai Bagan Lalang di Daerah Sepang, Pantai Redang di Daerah Sabak Bernam dan banyak lagi untuk menikmati suasana pantai yang mengasyikkan!


4) Rasai Pengalaman dan Aktiviti Agro-Pelancongan

Terdapat banyak taman agro yang boleh dilawati dan anda boleh mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan.


Taman-taman agro ini menampilkan keindahan alam semula jadi yang sesuai dilawati oleh seisi keluarga, antaranya, MAEPS Agro Tourism Park, Selangor Fruit Valley, Kuan Wellness Eco Park, Kawasan Agro Tourism Kampung Johan Setia Sungai Kandis dan banyak lagi. Di sini turut disediakan pelbagai aktiviti yang menarik untuk anda rasai pengalaman sektor perladangan dan pertanian.


5) Rasai Makanan Tradisi Negeri Selangor

Negeri Selangor merupakan negeri yang kaya dengan budaya serta pelbagai makanan tradisi. Terdapat pelbagai pilihan makanan yang telah menjadi tradisi sejak turun temurun yang harus dicuba oleh orang ramai. 


Antara hidangan tradisi yang boleh anda dapatkan di Negeri ini ialah Nasi Ambeng, Sate, Lontong, Pecal, Sambal Taun dan banyak lagi! Makanan-makanan tradisi ini boleh didapati di sekitar Daerah Hulu Langat, Kuala Selangor, Klang, dan Sabak Bernam dari seleksi restoran serta kedai makan.


6) Membeli-belah Produk-Produk IKS ‘Made in Selangor’

Aneka kudapan dan kerepek merupakan produk IKS yang juga diminati oleh orang ramai di Malaysia. Kerepek juga menjadi hidangan kudapan ringan di rumah semasa musim perayaan kerana ianya enak dan senang dimakan.


Anda boleh dapatkan kerepek-kerepek tersebut bagi juadah Hari Raya Aidilfitri di Pekan Banting Kuala Langat, dan Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor. Antara pengeluar produk IKS yang popular di Negeri Selangor adalah Ros Kerepek Banting, Bahulu Masri Sabak Bernam, Kerepek KunyaKunya Tanjong Karang dan Kerepek Jemirah Sepang.


7) Raya Staycation-with-Style

Anda boleh menikmati penginapan serba selesa sempena cuti Hari Raya Aidilfitri di beberapa hotel di sekitar Negeri Selangor dan beberapa penginapan unik di sini. Antaranya seperti ‘The Sticks’ di Kuala Kubu Bharu yang sesuai dikunjungi bersama keluarga untuk menikmati suasana kehijauan dan jauh dari kesibukan kota. Selain itu, Sekeping Serendah Retreat juga menawarkan tempat penginapan yang dikelilingi kehijauan tetapi tetap mementingkan keselesaan. 


Manakala, Taman Eko Rimba Komenwel Resort juga menawarkan pengalaman ‘glamping’ untuk seisi keluarga anda. Untuk pengalaman ‘staycation’, terdapat pelbagai hotel di Negeri Selangor seperti New World Hotel Petaling Jaya, Concorde Hotel Shah Alam, One World Hotel , Petaling Jaya, dan banyak lagi.


Sambutan lebaran agak berbeza tahun ini kerana kebanyakan tidak dapat pulang beraya ke kampung halaman atas larangan rentas Daerah dan Negeri. Namun jangan risau, 7 idea menarik ini merupakan antara cadangan untuk anda bagi mengurangkan rasa kesedihan serta dapat menggamit suasana lebaran pada tahun ini walaupun dalam norma baharu. Disamping itu, adalah diingatkan kepada setiap pengunjung untuk mematuhi garis panduan atau SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara. Pengunjung harus mendaftar melalui aplikasi mudah alih “SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat”, memastikan penjarakan sosial, menggunakan cecair pembasmi kuman secara berkala dan memakai pelitup muka pada setiap masa demi memastikan kesejahteraan para pengunjung terjamin.

Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor.

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment

Back
to top