Ulasan Filem Petaka-Syurga Ini Milikmu (Astro First) | Petaka Menjadi Keldai Dadah

Hi semua! Kali ini Kak Bell akan kongsikan ulasan tentang sebuah filem di slot Astro First iaitu filem Petaka-Syurga Ini Milikmu yang telah ditayangkan bermula 4 Februari 2021 lalu. Petaka terbitan Arie Zaharie Production Sdn Bhd dengan kerjasama AA Success Pictures Sdn Bhd ini sepatutnya ditayangkan pada Disember 2020 tetapi ditunda penayangannya di Astro First kerana isu teknikal.


Filem arahan Azhari Zain dengan karya asal daripada Azman Ahmad ini merupakan sebuah filem yang menyayat hati berkisarkan pada kisah kekeluargaan, kemasyarakatan, kedaifan dan kenaifan. Dalam filem ini juga mengenengahkan isu berkaitan dengan kegiatan penyeludupan dadah dan bahayanya menjadi keldai dadah. #FILEMPETAKA Syurga Ini Milikmu ini mendapat sokongan dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersempena dengan hari sambutan Kempen Antidadah Kebangsaan Ke-38 pada 19 Februari 2021 kelak.

Filem: Petaka-Syurga Ini Milikmu
Pengarah: Azhari Zain
Penulis Skrip: Azhari Zain, Azman Ahmad (Cerita Asal)
Penerbit: Arie Zaharie Production Sdn. Bhd., AA Success Pictures Sdn. Bhd.
Pelakon: Azman Ahmad (Sham), Nabila Huda (Ima), Wan Maimunah (Ibu), PU Azman (Haziq), Jaja Iliyes (Shikin), Danish Daniel (Coki), Zali Shuhali (Zamri).
Tarikh tayangan: 4 Februari 2021
Siaran: Astro First



Kisah Kemiskinan Keluarga Dan Usaha Keluar Dari Kepompong Kemiskinan

Petaka mengisahkan kemiskinan dan kedaifan keluarga Sham (Azman Ahmad), seorang jejaka kampung yang berkorban menjaga ibunya yang uzur dengan mengambil upah kerja kampung. Sham melakukan beberapa kerja untuk menyara keluarganya, manakala adiknya Shikin (Jaja Iliyes) hanya menjaga ibunya (lakonan Wan Maimunah) di rumah, tidak ke sekolah kerana tiada wang. Sham yang bekerja keras untuk keluar dari kepompong kemiskinan dan berhasrat ingin menebus balik rumah pusaka yang sebelum ini terpaksa dijual kerana kemiskinan. Coki (Danish Daniel), budak lelaki belasan tahun menjadi rakan akrab pada Sham. Berkongsi hobi yang sama dan Coki juga selalu memberi insipirasi kepada tindakan Sham.


Kehidupan Sham berubah apabila mendapat kerja baru sebagai pemandu lori barang di kedai perabot Haziq (PU Azman), menggantikan pekerja lamanya yang hilang untuk mengambil barang perabot dari sempadan. Haziq bekerja di bawah Datuk Jamil dan barang yang diambil perlu dihantar kepada Zamri (Konco Datuk Jamil).

Dalam kenaifan Sham menerima tawaran kerja sebagai pemandu pada Haziq. Tiada lain untuk mengubah kedaifan hidup ibu dan adiknya. Kesempitan hidup tinggal di pondok usang usang atas belas kasihan Pak Ya Dagu, Sham bertekad untuk menebus rumah peninggalan arwah ayahnya. Sham adalah anak yang mendahulukan isi perut ibu dan adiknya. Sham langsung tidak menghiraukan bahaya yang bakal menimpa dan tidak berumah tangga atas alasan kedaifannya.


Upah yang diterima Sham memang cukup lumayan buat seorang pemandu lori. Walaupun terdetik di hatinya tentang upah itu, namun Shah teruskan juga pekerjaan tersebut kerana percaya kepada Haziq. Setelah bekerja beberapa lama, Sham berjaya menebus semula rumah pusaka arwah ayahnya. Pekerja Haziq, Ima (Nabila Huda) menasihati Sham supaya berhenti daripada pekerjaan tersebut tetapi Sham tetap meneruskan kerjanya.


Semasa menerima kerja sebagai pemandu lori, Haziq menetapkan 3 perkara yang perlu Sham ikuti iaitu JANGAN BANYAK TANYA, JANGAN PERIKSA BARANG APA dan PASTIKAN TEPAT PADA MASANYA.

Kemudian Sham semakin tertanya-tanya kerana upahnya semakin banyak dan akhirnya menyedari bahawa selama ini dia menjadi penghantar barang terlarang yakni sebagai keldai dadah. Namun langit tidak selalu cerah. Rezeki yang muncul datang bersama dugaan yang menjadikan petaka hidup Sham semakin hebat. Nyawa keluarga Sham diancam oleh konco Datuk Jamil. Apakah kesudahan yang bakal menimpa Sham dan keluarga?


Permulaan filem bermula baik dengan babak yang memaparkan kesusahan dan kemiskinan keluarga Sham. Kisah dalam filem ini memang suatu realiti yang terjadi dalam masyarakat kita. Dalam kesempitan hidup, ramai yang sanggup melakukan apa sahaja demi meneruskan kelangsungan hidup. Sham yang terdesak untuk membantu keluarga, menjaga ibu yang uzur tak menyedari yang dia terjerumus menjadi keldai dadah.

Untuk latar filem bagi Kak Bell ok sahaja. Tambah dengan loghat utara menjadikan filem ini seronok ditonton. Jalan ceritanya agak straight forward dan seawal filem penonton memang dah dapat agak jalan penceritaan filem Petaka ni. Cuma Kak Bell rasa watak si Sham dan Haziq tu terlalu naif sampai tak tahu yang depa ni bekerja dengan tokey dadah.

Penampilan PU Azman Dan Bintang Tik Tok Coki

Lakonan Wai Maimunah sebagai ibu memanglah tidak dapat disangkal lagi. Watak yang dibawa memang sangat berkesan, terkesan sangat di hati. Dengan mimik muka, pembawaan watak, memang penonton dapat feel perasaan seorang ibu yang tak nak menyusahkan anak-anak tetapi jauh di sudut hati ada perasaan sedih dan terkilan. Babak Wan Maimunah berlakon memang sedih, sangat menjiwai watak. 



Lakonan Azman Ahmad sebagai pelakon utamanya juga tidak mengecewakan termasuklah bagi aktress Nabila Huda. Setelah 6 tahun tak berlakon, Azman Ahmad berjaya membawakan watak seorang yang naif dalam Petaka. Watak Nabila Huda jika dikembangkan lagi mesti filem ini akan lebih menarik sebab kita tahu Nabila memang seorang pelakon yang boleh bawakan apa jua watak. Dalam filem ni juga ada ditampilkan bintang tik tok Coki yang menggunakan nama sama dalam filem ini dan juga PU Azman. Sebagai pelakon baru, lakonan Coki masih boleh digilap dan percubaannya agak baik. 


Watak PU Azman tu mulanya Kak Bell confius sebab awalnya memang nampak dia sebagai orang kanan penjahat, rupanya hujung-hujung dia pun naif juga macam Sham kena game jadi keldai dadah. PU Azman dalam filem ini menunjukkan sisi lain dalam lakonan dia dan wajar diberi kredit lah sebab umum kita tahu dia adalah seorang pendakwah. Lakonan pelakon pembantu seperti Pak Ya dan Mak Leha kedai pun sempoi dan bersahaja. 

Pada Kak Bell mesej yang dibawakan dalam filem Petaka ini sampai kepada penonton. Ada nilai pengajaran dan mesej untuk tidak mudah terpengaruh, berhati-hati agar tidak terjerumus menjadi keldai dadah dan ketaatan kepada keluarga adalah elemen sangat penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Bagi yang nak tonton, boleh tonton di Astro First dan juga Astro Go.

CONVERSATION

3 comments:

  1. Belum tengok lagi.. nanti nak tengoklah..
    Bab dadah ni, sekali dah terjebak, memang susahlah kan Bell nak hilang tagih...

    ReplyDelete
  2. belum pernah tengok lagi..macam best ja

    ReplyDelete
  3. Kalau nak tahu, pelakon Azman Ahmad tu dia ada buka kedai makanan western di UUM. Selalu pergi situ, rindu pula burgernya. Peramah orangnya rajin bersembang dengan kami

    ReplyDelete

Back
to top