Bagai mengharapkan sinar yang lebih terang untuk tahun hadapan, 2021 bakal
dibuka dengan
KONSERT SLAM MENTARI MUNCUL LAGI
pada awal tahun nanti. Mengharapkan tahun yang lebih menyerlah dan penuh
semangat, Shiraz Projects Sdn Bhd dengan bangganya mempersembahkan konsert
kumpulan legenda dan terkenal ini buat para peminat konsert tempatan
khususnya.
Gabungan vokalis hebat Zamani bersatu dengan pemain-pemain instrument
professional iaitu Shah (gitar), Eddie (keyboard), Man (dram) dan Lili
(bass) akan membawa khalayak mengimbau nostalgia masa lalu sewaktu
membesar dengan lagu-lagu handalan mereka. Pastinya setiap lagu akan
disertai dengan nyanyian bersama para peminat kumpulan yang ditubuhkan
pada tahun 1991 ini.
Tiga puluh tahun dalam industri dan melalui pelbagai kenangan pahit dan
manis bergelar anak seni, Slam sentiasa menghadiahkan persembahan bertenaga
dan kaya bunyi bagi melengkapkan momen-momen indah buat semua peminat.
“Slam adalah sebuah kumpulan yang sudah lama pihak kami merancang untuk menganjurkan konsert mereka dan kini impian itu menjadi kenyataan” ujar Shiraz yang merupakan Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Projects.
Konsert Norma Baharu
Slam pernah muncul dengan rangkaian konsert yang sentiasa meninggalkan
kesan yang tersendiri buat peminat, untuk konsert kali ini mereka
merasakan persiapan akan jadi lebih mantap. Sudah lama tidak muncul dengan
sebuah konsert dan selalunya sebelum ini Slam akan mengadakan konsert dua
tahun sekali. Jadi kali ini persediaan akan lebih ekstra dan rapi.
Biarpun umum mengetahui ketika ini dunia sedang dilanda wabak pandemik
COVID-19 yang meragut nyawa jutaan manusia, konsert ini akan tetap
diteruskan dengan norma baharu selain mengetatkan standard operasi prosedur
(SOP) ketika hari konsert berkenaan yang dijadualkan pada 17 Januari 2021 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
“Kalau sebut tentang kelainan, kami boleh katakan susunan muzik akan lebih mantap lagi dan kita membesarkan lagi muzik dan bunyi dengan penambahan instrument. Untuk konsert kali ini juga, kami akan menggunakan teknologi moden dengan menyelaraskan visual dan teknik pencahayaan. Rasanya ini merupakan sebuah ‘stepping stone’ untuk Slam memberikan satu perkara baru untuk para peminat,” ujar Shah mewakili kumpulan Slam.
“Harapan kami agar Konsert Slam Mentari Muncul Lagi ini merupakan permulaan untuk konsert-konsert kami yang mendatang . Banyak perancangan yang sudah terkandas. Ini akan menjadi sebuah pengenalan Slam serius kembali dan juga hadiah buat para peminat,” tambah Shah.
Lagu-Lagu Hit Yang Malar Segar
Kumpulan yang berasal dari Johor ini sudah menempa nama bukan sahaja di
Malaysia tetapi juga dikenali di Singapura, Brunei dan Indonesia. Lagu
Gerimis Mengundang telah diubah kepada pelbagai versi di negara jiran,
Indonesia. Lagu tersebut merupakan salah sebuah lagu yang terkandung dalam
album studio kedua, Kesan Terbukti yang dilahirkan pada tahun 1995.
Album ini juga turut menampilkan pelbagai lagu hits seperti Tak Mungkin
Berpaling, Manisnya Rindu, Bukan Niat Membalas Derita, Kembali Terjalin
dan Nurkasih.
Sebelum itu, Slam muncul melalui album bertajuk Slam pada tahun
1994 dengan mengenengahkan lagu-lagu seperti Buat Seorang Kekasih dan
Nina. Album ketiga kumpulan yang dianggotai oleh Zamani, Shah, Eddie,
Ajak, Man dan Lili ini muncul pada tahun 1996 dengan tajuk
Kembali Merindu. Antara lagu-lagu yang menjadi siulan melalui album
ini ialah Jika Kau Rasa Getarnya, Kita Terpaksa Bermusuhan dan Kembali
Merindu. Pada tahun yang sama, Slam muncul dengan konsert berskala besar
pertama di Stadium Negara yang bertajuk
Slam Live Concert Unplugged. Kumpulan ini turut dianugerahkan
Anugerah Kembara di AIM ke-4.
Pada tahun 1998, mereka kembali meledak dengan album
Dalam Harapan yang mengandungi lagu-lagu seperti Mentari Muncul
Lagi, Tiada Aku Jemu, Entah Mengapa dan Terpukau Seribu Rindu. Album
Slamanja dikeluarkan pada tahun 2003 dengan diikuti album
Menggapai Langit pada tahun 2007. Antara pencapaian lain buat Slam
yang tersimpan erat dalam sejarah penubuhan mereka ialah memenangi tempat
ketiga di Voice of Asia 1997 dan
Anugerah Khas di Anugerah Musik Indonesia 1999.
Tiket Sudah Mula Dijual
Konsert Slam Mentari Muncul Lagi menawarkan tiket berharga RM 700 (Meet
& Greet), RM360 (Diamond), RM260 (Platinum), RM200 (Gold), RM160
(Silver), RM130 (Bronze) untuk peminat melakar sejarah bersama mereka.
Untuk sebarang keterangan lanjut, sila layari www.myticket.asia untuk
tempahan tiket. Bagi informasi atau update terkini, layari laman sosial
Slam dan Shiraz Projects.
Sekali lagi, jangan lepaskan momen dan lakaran sejarah yang bakal tercipta
kelak dengan tandakan kalender anda dengan konsert seperti di bawah ini.
KONSERT SLAM MENTARI MUNCUL LAGI yang merupakan konsert satu malam sahaja
ini dianjurkan oleh Shiraz Projects Sdn Bhd.
#KonsertSlamMentariMunculLagi