Resepi Puding Jagung Mudah - Bella Jamal | Sepanjang Kak Bell berkongsi resepi, memang jarang sekali Kak Bell buat
      pemanis mulut atau 'dessert'. Adalah Kak Bell kongsikan sebuah resepi pencuci mulut dan sampai
      sekarang masih berada di dalam senarai top 10 carian tertinggi buat blog
      Kak Bell. Resepi yang dimaksudkan adalah resepi Puding Sagu Gula Melaka (boleh KLIK untuk resepi). Disebabkan tiada resepi manisan, jadi Kak Bell gigih mencuba
      resepi Puding Kastard Jagung sebab resepinya sangat mudah.
  Ya, ini memang kali pertama Kak Bell membuat puding jagung ini. Setelah
    meneliti resepi di Google, Kak Bell dapati ada 2 cara kebanyakkan orang
    membuat puding jagung ni. Cara pertama yang mudah hanya gunakan sahaja bahan
    asas: jagung tin, tepung kastad, gula, susu cair dan air. Untuk cara kedua,
    ada yang gunakan bahan tambahan tepung jagung, cawan santan, marjerin dan juga
    buah campur koktel. Kalau dah nama puding jagung pakai jagung aje lah kan, dah letak buah
    koktel baik buat air koktel je. Hehe. Oklah jom risik bahan-bahan untuk resepi puding jagung kastard
  Bahan-bahan
  1 tin jagung manis
  1 cawan tepung kastard
  3 cawan air
  1 tin susu cair
  1 cawan gula
  secubit garam (secukup rasa)
  Untuk bahan-bahan ni, Kak Bell gunakan jagung tin yang mahal sikit
    termasuklah pakai tepung kastard jenama Bird's. Ada je yang murah sikit,
    tapi takut tak sedap terus beli yang mahal. Walhal kalau dah tak berbakat
    tak sedap jugak kan. Apapun sis cuba!
  1) Campurkan semua bahan-bahan dalam periuk/kuali dan kacau mesra.
  2) Kacau bahan menggunakan api perlahan sehingga adunan pekat
    berkilat.
  3) Kacau hingga bahan ada gelembung-gelembung meletup muncul.
  4) Tutup api, masukkan ke dalam loyang atau bekas, tunggu sehingga sejuk
    dan kemudian masukkan di dalam peti sejuk. Puding sedap dimakan sejuk!
- Kacau dahulu bahan-bahan hingga sebati sebelum dimasak atas api.
 - Gunakan api kecil semasa masak adunan, sentiasa kacau untuk elak berketul.
 - Kacau hingga gelembung-gelembung meletup muncul menandakan puding dah masak.
 - Pastikan adunan likat tadi lambat jatuh untuk elakkan puding lembik.
 - Jika adunan jatuh laju dan bertali dari senduk menunjukkan adunan belum masak.
 
    Akhirnya menjadi juga Puding Kastard Jagung Kak Bell walaupun sedikit
      lembik. Buat Kak Bell yang pertama kali cuba ni, kiranya dah berjayalah.
      Kalau makan sendiri, puding jagung yang tidak keras dan manis pastinya
      lebih sedap. Kalau terlalu pejal tu Kak Bell tak lalu nak makan.
      Terpulanglah yang mana satu jadi kegemaran korang semua. Yang penting Kak
      Bell puas hati dengan rasa lemak manis dari susu cair dan manis dari
      jagung untuk puding ni.
  
  Kalau ingin warna yang lebih cantik boleh masukan sedikit pewarna kuning
    kalau tak ada pun tak pe. Kalau ada tips dan cara yang lain, bolehlah kongsikan di ruangan komen.
    Selamat minum petang dan jangan lupa mencuba resipi puding jagung kastard
    sedap ni! Kalau tak pandai jugak, cari je kat youtube channel sane.