Filem Animasi Ejen Ali The Movie Bakal Menemui Peminat November Ini

Selepas kejayaan besar filem animasi Upin & Ipin serta Boboboi The Movie baru-baru ini, satu lagi filem animasi tempatan bakal ditayangkan hujung tahun ini. Primeworks Studios dan Wau Animation telah mengumumkan tayangan serentak EJEN ALI THE MOVIE di seluruh pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 28 November 2019 pada 23 Oktober lalu di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur.


Kurang 24 jam Wau Animation berkongsi trailer ke-2 filem animasi ini ianya telah mendapat lebih 500ribu tontonan dan kii telah mencecah 2.1M tontonan! Pasti peminat setia siri animasi Ejen Ali sudah tidak sabar untuk menantikan tayangan filem ini di pawagam.

EJEN ALI kini menjadi salah satu daripada jenama animasi popular Asia yang telah berjaya meraih lebih dari 2 juta penonton di TV3 serta mempunyai lebih dari 1.4 juta pengikut di laman rasmi YouTube. Sejak tayangan pertama siri Ejen Ali di Malaysia pada tahun 2016, animasi ini telah meraih minat stesen media antarabangsa dan berjaya menembusi siaran di lebih 50 buah negara, termasuk di rangkaian Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV Indonesia dan AlMajeed TV di serantau Timur Tengah dan Afrika Utara.


Filem Ejen Ali membabitkan kos RM6.5 juta dan menyasarkan kutipan tiket sebanyak RM20 juta. Usamah Zaid yang juga pencipta Ejen Ali berkata, pihaknya mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan filem berkenaan.

“Tahun 2019 adalah tahun di mana animasi tempatan mendominasi carta industri perfileman negara. Tahniah diucapkan kepada Wau Animation di atas karya hebat dan sumbangan mereka yang sekaligus berjaya membawa industri perfileman Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi. Kami juga berharap agar peminat dan pencinta filem akan ke pawagam untuk menyokong filem Ejen Ali yang bakal ditayangkan pada musim cuti sekolah yang akan datang.” kata Datuk Ahmad Izham Omar selaku Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios pada sidang media EJEN ALI THE MOVIE.

Ahmad Izham Omar (dua kiri) dan Usamah Zaid (empat kiri) bersama para pelakon suara filem Ejen Ali The Movie pada sidang media di GSC Mid Valley Megamall

Filem animasi berdurasi 97 minit ini mengisahkan tentang Ali, budak berusia 12 tahun yang telah direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar. Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa (IRIS - Infinity Retinal Intelligence System). Gajet tersebut telah diubahsuai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen-ejen lain.



Inovasi baru ini dipersoalkan oleh Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat. Pada saat itu, dia didatangi oleh individu misteri yang mendakwa mengetahui akan kisah silamnya. Maka bermulalah pengembaraan baharu Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.


Filem animasi EJEN ALI THE MOVIE menjadikan single Bukalah Matamu nyanyian Aisyah Aziz bersama penyanyi rap muda, Bunga yang dilancarkan pada 20 September lalu, sebagai runut bunyi pertama.

Lagu tema kedua yang bertajuk Kita Jaga Kita nyanyian artis hip-hop tersohor, Altimet bergandingan bersama Cuurley dan Malik Abdullah bakal dilancarkan di semua platform digital mulai 25 Oktober 2019, diikuti dengan lirik video yang akan dipertontonkan di saluran YouTube Ejen Ali pada jam 12 tengah hari. Di samping itu, skor muzik untuk filem ini telah mendapat sentuhan hebat daripada Azri Yunus dan Hakim Kamal, mereka merupakan individu yang terawal menjadi tulang belakang dalam pembikinan siri animasi Ejen Ali. 

Primeworks Studios dan Wau Animation juga turut mengumumkan kolaborasi bersama rakan penaja untuk Filem EJEN ALI THE MOVIE. Tenaga Nasional Berhad merupakan penaja utama filem, disertai oleh Mydin dan Pediasure berganding bahu bagi menjayakan kempen pemasaran bersama. Tarikh siri jelajah dan ramah mesra bersama Ejen Ali juga bakal diumumkan tidak lama lagi, peminat berpeluang bertemu dengan maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia disamping berpeluang memenangi pelbagai hadiah eksklusif. 

Produk-produk jenama terbaru Ejen Ali turut diperkenalkan seiring dengan pelancaran filem EJEN ALI THE MOVIE. Mandian kanak-kanak Carrie BacBuster, peralatan Back-To-School yang diperbaharui, alat-alat permainan, makanan ringan dan sebagainya adalah antara produk yang dikeluarkan. Produk- produk ini akan dipasarkan di beberapa pusat membeli-belah seperti, Mydin, Parkson, AEON dan lain-lain. 


EJEN ALI THE MOVIE dikuasakan oleh Tenaga Nasional Berhad, bakal melancarkan misinya di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 28 November 2019. Bertepatan dengan musim cuti sekolah filem animasi ini diyakini mampu memberi saingan yang memberangsangkan dengan filem animasi tempatan yang lain.

Untuk maklumat lanjut mengenai EJEN ALI THE MOVIE, sila layari: 
YouTube: www.youtube.com/ejenali 
Facebook: www.facebook.com/ejenali 
Instagram: www.instagram.com/ejen_ali 
Twitter: www.twitter.com/ejen_ali
Hasgtag: #EjenAliTheMovie #EjenAli #AniMY 

CONVERSATION

1 comments:

  1. makin maju industri animasi tempatan..
    kdg2 layan jugak Ejen Ali ni.. anak2 buah le kalut bukak kartun2..

    ReplyDelete

Back
to top