Perayaan Hari Moyang Laut Tradisi Budaya Masyarakat Mah Meri (Puja Pantai) - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal Perayaan Hari Moyang Laut Tradisi Budaya Masyarakat Mah Meri (Puja Pantai)

Trending

Perayaan Hari Moyang Laut Tradisi Budaya Masyarakat Mah Meri (Puja Pantai)

Perayaan Hari Moyang Laut Tradisi Budaya Masyarakat Mah Meri (Puja Pantai) | Budaya dan warisan negeri Selangor merupakan salah satu daya tarikan pelancongan sama ada dari dalam atau luar negara yang diketengahkan bagi mengekalkan sosiobudaya masyarakat di negeri Selangor yang unik. Negeri Selangor terdapat 74 buah perkampungan orang asli yang terdiri daripada suku kaum Mah Meri, Temuan dan Semai.

Perayaan Hari Moyang Laut Tradisi Budaya Masyarakat  Mah Meri (Puja Pantai)

Tourism Selangor berpeluang menyertai sebuah dokumentari Eksplorasi Budaya Perayaan Hari Moyang Laut oleh para pelajar dari Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan menyelami keunikan budaya Kaum Mah Meri yang menjadi antara tarikan pelancongan negeri ini. Jom baca lebih lanjut tentang perayaan dan sambutan yang menjadi simbol martabat dan akar jati diri kaum Mah Meri.


Menyelami Keunikan Suku Kaum Mah Meri

Suku kaum Mah Meri yang dikenali dengan seni kraf ukiran topeng telah menetap di Pulau Carey, Negeri Selangor semenjak 300 tahun yang lalu dan kini terdiri daripada 5 buah perkampungan. Seni ukiran Topeng oleh suku kaum Mah Meri diibaratkan umpama nyawa mereka yang digunakan dalam pelbagai istiadat termasuklah penyembahan, merawat pesakit dan menolak bala.

Keunikan hasil seni ukir kaum Mah Meri yang berbentuk seperti dewa, manusia, tumbuh-tumbuhan serta haiwan telah mendapat pengiktirafan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO) dan hasil seni yang dibeli dari kawasan ini memegang sijil ketulenan UNESCO yang tersendiri. Selain hasil seni ketara (tangible arts) yang dihasilkan oleh suku kaum Mah Meri, tradisi dan warisan yang dikira sebagai sebuah seni tidak ketara (intangible arts) yang sangat bernilai ini, memainkan peranan yang amat penting bagi industri pelancongan di negeri Selangor.


Sambutan Perayaan Hari Moyang Laut

Perayaan Hari Moyang laut disambut oleh suku kaum Mah Meri setiap tahun selepas tahun baru Cina yang diadakan bertujuan bagi memohon perlindungan, pengampunan dan kesejahteraan kepada keluarga dan penduduk-penduduk di sekitar dengan memberi penghormatan kepada leluhur dan roh nenek moyang ketika tahun baru.

Perayaan Hari Moyang Laut Tradisi Budaya Masyarakat  Mah Meri (Puja Pantai)

Perayaan yang berlangsung selama 5 hari ini melibatkan beberapa upacara seperti berikut:

  • Hari Pertama: Upacara perayaan Datuk Panglima Hitam
  • Hari Ke-2: Persiapan menghias Balai Moyang dengan seni anyaman
  • Hari Ke-3: Upacara memanggil moyang dan tepung tawar
  • Hari Ke-4: Perarakan ke Sungai Teluk Tanjung bagi upacara Hari Jadi Moyang Laut dan menjamu makanan di Sangga untuk arwah roh Moyang di setiap rumah di Kampung Sungai Judah serta memohon restu di laut dan sungai di sekitar Pulau Carey
  • Hari Ke-5: Perarakan ke Pantai Bangkong bagi merayakan sambutan Perayaan Hari Moyang Laut dan persembahan tarian Jo’oh kepada para pengunjung


Sekumpulan pelajar tahun tiga ijazah Sarjana muda Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah mengambil peluang merakamkan sebuah dokumentari bertajuk Eksplorasi Budaya Perayaan Hari Moyang Laut selama 5 hari, disokong oleh beberapa rakan kerjasama seperti Tourism Selangor, Kakiseni, Arkib Negara, Jabatan Warisan Negara serta Jabatan Muzium Malaysia. Dokumentari Eksplorasi Budaya Perayaan Hari Moyang Laut ini telah ditayangkan di Pawagam Jalan Ampas, LokaKarya, ASWARA dengan persembahan khas dari komuniti suku kaum Mah Meri.

Keunikan suku kaum Mah Meri ini amat luas daripada segi warisan dan hasil seninya. Ini dapat dilihat dengan penghasilan warisan kraftangan seperti perhiasan-perhiasan yang digunakan serta dijual kepada para pelancong sepanjang perayaan Hari Moyang Laut yang telah dijalankan pada tahun ini.


Mej. (PA) Ts. Dr. Zulkifli Ab Rashid, Dekan Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan dalam satu kenyataan berkata, keunikan yang ada pada perayaan yang dirayakan oleh suku kaum Mah Meri ini perlulah dititikberatkan oleh semua pihak supaya ianya kekal terjaga dan menjadi sebuah khazanah yang berharga buat negara kita.

Dengan penglibatan pemain seni tempatan, Tourism Selangor yakin bahawa negeri Selangor mampu mencapai visi dalam menjadikan negeri Selangor sebagai sebuah hab industri kreatif. Tourism Selangor menggalakkan orang awam terutamanya para pelancong serta pusat pendidikan untuk menyertai acara-acara seperti Perayaan Hari Moyang Laut bagi mempelajari lebih lanjut tentang budaya dan warisan tempatan. Para pengunjung boleh berhubung terus dengan Mah Meri Cultural Village di laman Malaysian Indigenous Culture bagi mendapatkan informasi lanjut tentang lawatan ke perkampungan suku kaum Mah Meri di Pulau Carey.

perayaan hari moyang, perayaan hari moyang oleh masyarakat temuan, hari moyang kaum apa, perayaan hantu, perayaan hari moyang masyarakat mah meri, hari moyang mah meri, puja pantai,

Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post