McDonald’s Bakal Tawar 10,000 Peluang Pekerjaan Untuk Belia Malaysia

Semenjak pandemik Covid-19 melanda dunia, memang ramai yang terkesan dari pelbagai aspek. Ramai yang hilang punca pendapatan berikutan kehilangan pekerjaan disebabkan banyak syarikat yang tidak mampu bertahan dan gulung tikar. Buat yang masih mempunyai kerja seharusnya banyak bersyukur berikutan cabaran kita di masa akan datang, memang tidak akan sama seperti kehidupan kita yang sebelumnya.

Akademi Vokasional McDonald’s

Bagi yang terjejas pastinya menghadapai kesukaran untuk menampung perbelanjaan dan kehidupan seharian. Jadi buat masa ini, memang perlu ketepikan ego untuk memilih pekerjaan demi kelangsungan hidup di waktu pandemik. Buat anda yang masih mengganggur dan ingin dapatkan peluang kerjaya, Kak Bell nak kongsikan tentang 10,000 peluang pekerjaan baharu yang bakal ditawarkan oleh pihak McDonald’s Malaysia buat para belia dan anak muda Malaysia. Nak ketahui tentang peluang kerjaya dan kerja kosong di McDonald's dan bagaimana hendak menyertai program tersebut, jom ikuti lebih lanjut.


Belajar Sambil Bekerja Di Akademi Vokasional McDonald’s

Untuk makluman, rangkaian restoran khidmat segera terkenal McDonald’s ini menyediakan platform untuk golongan belia di Malaysia membina kerjaya berkemahiran tinggi melalui Akademi Vokasional McDonald’s. Akademi Vokasional McDonald’s ini menyediakan peluang latihan, pembelajaran dan pembangunan bertaraf dunia dengan matlamat mempersiapkan para peserta dengan kemahiran industri serta nilai kerja yang boleh diguna pakai di mana-mana organisasi pekerjaan kelak.

Lulusan Akademi Vokasional McDonald’s


Sehingga kini, McDonald's mempunyai seramai lebih 14,000 kakitangan di lebih 300 restoran mereka di seluruh negara. Dalam usaha untuk terus berkembang walaupun ketika pandemik, McDonald’s Malaysia menjangkakan 10,000 peluang pekerjaan baharu bakal ditawarkan melalui sasaran pembukaan 500 restoran menjelang 2026. Secara tak langsung, ini akan mewujudkan lebih banyak peluang kerjaya buat golongan belia di Malaysia. Buat anak muda yang masih tidak mempunyai pekerjaan, memang sesuai ambil peluang ini bagi membina kerjaya di masa hadapan.

Pendekatan pembelajaran di akademi ini termasuklah bimbingan sambil bekerja, latihan di dalam kelas, pembelajaran kendiri serta alat pembelajaran bersesuaian untuk kakitangan yang direka khas bagi membolehkan golongan belia mendalami peranan dan membiasakan diri dengan amalan terbaik dalam industri perkhidmatan makanan.


Elaun Bulanan Sebanyak RM1200, Tempat Tinggal & Makan Percuma!

Program Perantis Vokasional McDonald’s secara Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) ini adalah hasil kerjasama McDonald’s Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia. Para peserta akan menjalani program SLDN ini selama 18 bulan yang merangkumi 70% latihan praktikal di restoran-restoran McDonald’s dan 30% pembelajaran teori di pusat latihan.

Latihan Praktikal McDonald’s

pembelajaran teori di pusat latihan

Di antara manfaat Program Perantis Vokasional McDonald’s adalah seperti berikut:
  1. Dibuka kepada belia lepasan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
  2. Setiap perantis diberikan elaun sara hidup bulanan sebanyak RM1,200
  3. Kemudahan tempat tinggal
  4. Manfaat perubatan dan insurans
  5. Makanan percuma sepanjang program

Selepas tamat program, perantis akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 oleh Jabatan Pembangun Kemahiran dan anda bolehlah terus bekerja di McDonald’s atau mana-mana syarikat perkhidmatan makanan di Malaysia.


Kisah Kejayaan Peserta Program Perantis Vokasional McDonald’s

Kini, lebih 2,000 belia dilatih sebagai perantis di restoran McDonald’s di seluruh negara dengan jalinan kerjasama berterusan antara JPK dan McDonald’s Malaysia. Jom ikuti beberapa profil peserta program ini.

Nur Fazera Natasya Iman Binti Mohd Azri
Dikenali sebagai Iman, merupakan salah seorang Pelajar Terbaik dan juga penerima Anugerah Perantis Khas bagi Anugerah Prestasi Cemerlang. Bagi Iman, McDonald’s telah membantu beliau menjadi seorang yang berani dan berkeyakinan diri. Iman kini berkhidmat sebagai Ketua Kru di McDonald’s Mont Kiara, Kuala Lumpur.


“Ketika pertama kali menyertai program ini, saya agak pemalu dan sentiasa takut untuk mencuba perkara baharu. Melalui program ini dan selama saya di McDonald’s, saya menjadi lebih yakin dan lebih fokus untuk membina kerjaya saya, dengan mengatasi rasa takut melalui latihan ektensif dan sokongan yang saya terima di sini.”


Khor Wei Nern
Khor Wei Nern menyertai Program Perantis Vokasional McDonald’s atas galakan daripada guru di sekolah menengah beliau. Beliau telah menjalani program latihan dan pembangunan di usia muda 18 tahun. Khor sekarang sedang menjalani latihan praktikal di McDonald’s Pandu-Lalu Bandar Seri Putra, Kajang.


“Saya bukan sahaja mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada pengurus-pengurus dan rakan sekerja yang mesra dan berpengalaman, tetapi juga dapat sama-sama menyumbang dan mengambil bahagian dalam operasi harian. Dengan umur saya yang baru sahaja 18 tahun, pengetahuan dan latihan yang saya terima amat berharga bagi saya.”

David Janil Raj A/L P.P. Sundaraj
Bagi David Janil Raj A/L P.P. Sundaraj atau David, beliau mendapati program ini telah menyediakan pelbagai peluang termasuklah perkembangan kerjaya. Beliau kini berkhidmat di McDonald’s Pandu-Lalu Rawang dan merupakan antara perantis pertama bagi Program Perantis Vokasional McDonald’s.


“Saya bermula sebagai perantis, dan kini berjaya memegang jawatan sebagai Penolong Pengurus dan Pengurus Syif di McDonald’s. Saya sudah bersama McDonald’s selama 3 tahun dan saya mahu menjadi Pengurus Besar Restoran sebaik tiba tahun ke-6 saya di sini. Saya juga telah menetapkan matlamat tahun ke-10 saya, untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Konsultan Operasi.”


Trivia Menarik Kerjaya Di McDonald’s

  • Setiap tahun, lebih 1,000 Pengurus McDonald’s menamatkan program kurikulum Pengurusan Restoran McDonald’s, dengan kemampuan memimpin, berkomunikasi dan kepakaran dalam operasi restoran.
  • McDonald’s mengambil 100 peratus rakyat Malaysia untuk bekerja.
  • Mengutamakan mereka daripada keluarga berpendapatan rendah termasuk golongan asnaf dan komuniti luar bandar.
  • Mengaplikasikan syarikat yang bersifat inklusif dan berbilang bangsa.
  • Memberi peluang pekerjaan sama rata kepada golongan wanita & orang kelainan upaya(OKU).
  • Sehingga kini, 50 peratus Pengurus Restoran adalah wanita dan 228 daripada keseluruhan warga kerja McDonald’s adalah OKU.

McDonald’s adalah rangkaian global perkhidmatan makanan melibatkan kira-kira 36,000 cawangan restoran di seluruh dunia dengan pelanggan lebih 70 juta sehari di lebih 100 buah negara. Sepanjang 39 tahun McDonald’s di Malaysia, McDonald’s memberi perkhidmatan kepada lebih 13.5 juta pelanggan sebulan di lebih 300 restoran di seluruh negara.

Buat anda di luar sana yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja McDonald’s, boleh layari https://www.mcdonalds.com.my/career untuk maklumat lanjut.

CONVERSATION

3 comments:

  1. Alhamdulillah.. mudah2an dengan usaha ini .. belia dapatlah rebut peluang majukan diri

    ReplyDelete
  2. Tahniah McD kerana tawarkan program sebegini buat belia di luar sana. Program yang menarik dan sangat membantu.

    ReplyDelete
  3. Inisiatif McD untuk bantu para belia dinegara kita ni memang terbaik. Rugi sangat kalau dorang lepaskan peluang ni.

    ReplyDelete

Back
to top