Review Filem Hutang 2D : Hutang 2D Tampilkan Kesemua Ahli Floor 88 Dan Baby Shima Sebagai Heroin

Hi semua! 2 hari lalu Kak Bell luangkan masa untuk menonton filem aksi komedi terbaru di Astro First iaitu filem HUTANG 2D yang menampilkan penyanyi tanah air sebagai pelakon. Di saat tertekan terperap lama di rumah, eloklah kita bergelak ketawa dengan filem HUTANG 2D yang dibawakan oleh Astro Shaw terbitan Arie Zaharie Production bersama Knack Knack Studios. Walaupun masih tidak dapat ke panggung wayang, kita tonton sahaja secara terus di Pawagam Rumah Anda, di saluran 480 Astro First yang telah bermula 5 Ogos 2021.



Sinopsis Filem Hutang 2D : Kisah Seorang Pelukis Komik Web Amatur Yang Menemui Sebuah Tablet Ajaib Yang Merealisasikan Impiannya

HUTANG 2D mengisahkan Ayie, seorang pelukis ‘webtoon’ yang kuat berangan dan pengecut mempunyai dua masalah dalam hidupnya iaitu hutang bapanya dan cinta terpendamnya pada Shima. Kehadiran dua gangster ‘Han’ dan ‘Kit’ menambahkan satu lagi masalah dalam hidupnya. Segalanya berubah melalui ‘tablet ajaib’ di mana segala lukisannya menjadi hidup. Dengan adanya tablet itu, dia mencipta rakan-rakan yang mempunyai kuasa ‘superhero’ yang luar biasa untuk membantunya menyelesaikan masalah hidupnya.


Garapan watak untuk ahli Floor 88 dalam filem ini adalah Achoi dengan kuasa Api, Akram kuasa mengayat guna Pickup Line, Amir memiliki kehebatan Voice Recognition, Falique mempunyai kuasa 4 saat pantas dan Eric Fuzi tambil dengan kuasa kuat.

Filem : Hutang 2D
Pengarah : Irwan Rauf Dan Eric Fuzi (Floor 88)
Produksi: Arie Zaharie Production & Knack Knack Studios
Idea asal : Eric Fuzi, Ayie Ilham, Dian Mayasari, Irwan, Rauf, Chill Bro
Genre: Aksi Komedi
Siaran: 480 Astro First
Durasi: 1 Jam 35 Minit
Harga: RM15 untuk 2 hari
Tarikh Tayangan: 5 Ogos 2021 hingga 3 November 2021

Barisan Pelakon Hutang 2D

Ayie Elham (Floor 88) sebagai Ayie
Baby Shima sebagai Shima
Eric Fuzi (Floor 88) sebagai Eric
Akram (Floor 88) sebagai Akram
Falique (Floor 88) sebagai Falique
Achoi (Floor 88) sebagai Achoi
Amir (Floor 88) sebagai Amir
Fauziah Dato Ahmad Daud AMN sebagai Mak Ima
Ropie sebagai Pak Jie
Black Hanifah sebagai Han
Wafiy Aan sebagai Kit
Coki sebagai Aiman
Altimet sebagai Mambang

Filem HUTANG 2D adalah kemunculan pertama kumpulan Floor 88 menerusi filem aksi dan komedi yang bakal mencuit hati penonton. Terdahulu, Floor 88 pernah pamerkan bakat lakonan menerusi telefilem Kau Roadblock Hatiku (2018) dan Tok Moh Talent Agency (2019) yang ditayangkan di Astro Citra. Filem ini, tidak hanya menampilkan kumpulan Floor 88 sahaja tetapi turut menampilkan gabungan penyanyi-penyanyi dan juga pelakon hebat tanah air seperti Baby Shima, Black Hanafiah, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Ropie, Altimet dan bakat baru Wafiy Ilhan dan Coki.


TRIVIA Filem Hutang 2D

1) HUTANG 2D adalah filem terbitan bersama Arie Zaharie Production, Knack Knack Studios dan Datuk Jamil Baharom. Idea asal filem ini datang dari Silentkaiju Studio dan mreka tertarik dengan idea untuk mengangkat lagu Hutang yang amat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia.


2) Memandangkan bait-bait lirik yang menggunakan gaya bahasa sarkastik dan membawa kisah tersendiri lalu pihak produksi cuba mengembangkan elemen serta mesej lagu tersebut ke dalam bentuk penceritaan dan kemudian dijadikah sebuah filem.

3) HUTANG 2D mendapat sentuhan dua pengarah iaitu Irwan Rauf dan Eric Fauzi Floor 88. Filem ini menampilkan lakonan hebat Floor 88, Baby Shima, Ropie, Black Hanifah, Altimet, Coki dan penampilan khas Fauziah Dato Ahmad Daud AMN (Ogy).



4) Eric Fuzi adalah pengarah bersama untuk filem HUTANG 2D. Melalui pengalaman sebagai pelajar di ASWARA selama 6 tahun, berpengalaman mengarah video muzik serta mahir bermain peralatan muzik, beliau mengembangkan bakat dalam bidang pengarahan.

5) Ropie pernah tampil dalam muzik video lagu Hutang dengan watak seorang yang banyak hutang, dan menariknya watak tersebut telah dikembangkan ke dalam filem dan menjadi salah satu konflik di dalam penceritaan HUTANG 2D.



6) Penggambaran HUTANG 2D dilakukan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur dan sekitar kawasan Sungai Buloh, Selangor, pada Julai 2020 iaitu ketika negara sedang berhadapan pandemik Covid-19.

7) Keseluruhan kos penggambaran selama 10 hari sahaja telah menelan belanja sebanyak RM300,000.


8) Babak untuk menggelapkan lampu seluruh blok rumah flat ketika babak “blackout” telah mendapat kerjasama baik daripada setiap penduduk di situ yang membenarkan lampu di rumah mereka ditutup serentak selain kerjasama ketua pengurusan flat yang berurusan dengan pihak TNB untuk membantu menjayakan babak tersebut.


Review/Ulasan Filem Hutang 2D

Sebagai sebuah filem aksi komedi ringan, filem HUTANG 2D ini menampilkan jalan cerita yang ringkas dan mudah difahami. Tiada plot 'twist' dan mudah ditebak tanpa ada plot cerita yang memerlukan lebih konsentrasi untuk paham.

Filem ini turut menampilkan konsep komikal atau webtune yang watak-wataknya dihidupkan dengan kesan ciri khas CGI. Untuk sebuah filem tempatan dengan bajet RM300,000, kesan CGI boleh dianggap memuaskan dan tidak patut disamakan dengan filem luar dengan bajet pembikinan filem yang lebih besar. Pada Kak Bell ianya masih boleh diterima. Tambahan pula, perancangan awal filem ini hanya ingin dibuat sebagai telemovie, tetapi telah diangkat menjadi sebuah naskah filem. Jadi, penghargaan patut diberikan di atas usaha produksi bagi menjayakan filem Hutang 2D ini.



Watak-watak dalam lakonan filem ini so far so good tetapi pujian harus diberikan kepada pelakon hebat Ogy Ahmad Daud yang berada di kelasnya yang tersendiri. Jika nak dibandingkan, memang akan nampak beza lakonan beliau dengan pelakon baru. Untuk penyanyi Baby Shima yang membawakan watak heroin juga harus dipuji. Walaupun pada awalnya Baby Shima menolak perlawaan untuk berlakon, tetapi akhirnya setuju setelah diyakinkan oleh Eric. Nampak ada peningkatan dari segi dan mutu lakonan Baby Shima.

Penampilan Altimet dalam Hutang 2D hanya sebagai cameo dan watak Ropie yang sentiasa lucu berjaya juga membawa adegan serius ketika beraksi disamping Ogy. Kemunculan watak Wafiy Aan dan Coki dalam Hutang 2D, pada Kak Bell hanyalah sebagai penyeri bagi menarik minat pengikut kanak-kanak bagi kedua-dua personaliti ini.



Dalam filem ini banyak mesej positif yang dibawakan seperti isu hutang, pemerdagangan manusia, tanggungjawab dan peranan ibubapa dan anak serta isu kekeluargaan yang patut diambil nilainya. Filem ini sesuai untuk tontonan seisi keluarga dan segenap lapisan masyarakat. Sekurang-kurangnnya filem ini dapat menghiburkan penonton sekali gus meredakan tekanan akibat pandemik yang melanda.

Jadi, selamat menonton filem aksi komedi yang menghiburkan Hutang Floor 88 (Hutang 2D) di Pawagam Rumah Anda. Anda boleh menonton Hutang 2D full movie di Astro First bermula pada 5 Ogos 2021 hingga 3 November 2021 di saluran 480 atau boleh juga distrim di Astro Go atau On Demand.

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment

Back
to top