Buat peminat drama bergenre seram dan mistik, Astro Ria bakal menyiarkan
    drama seram baharu ‘Malaysian Ghost Stories’ secara back to back bersama
    dengan drama Hawa sebagai pelengkap malam hari yang selesa dan
    menghiburkan.
    Drama ‘Malaysian Ghost Stories’ terbitan Arie Zaharie Production Sdn. Bhd.
    yang mengetengahkan genre seram bakal menggantikan drama sekuel ‘Saga 2.0’
    pada jam 11.00 malam bermula 25 Ogos 2021. Idea asal drama ini diilhamkan
    oleh Syawal Azrai serta turut mendapat sentuhan tiga pengarah berbeza yang
    terdiri daripada Izuan Mokhtar, Azhari Zain dan Eoon Shuhaini. Manakala
    panel skrip pula dibarisi oleh Srikandi Emma, Aloy Paradoks, Epy Kodiang dan
    Amar Amir.
  
    Menurut Arie Zaharie, Penerbit ‘Malaysian Ghost Stories’, objektif utama
    yang ingin disampaikan kepada penonton ialah untuk memaparkan pelbagai kisah
    hantu yang sering diceritakan di Malaysia sebagai hiburan untuk memberi
    kelainan. Kebanyakan generasi muda zaman sekarang kurang percaya dengan
    kewujudan entiti seram. Drama seram ini menghimpunkan semula kisah-kisah
    tersebut untuk dijadikan asas penceritaan utama.
  
  
    Drama ‘Malaysian Ghost Stories’ bakal mengupas secara terperinci
    kepelbagaian jenis hantu yang sering didengari di Malaysia agar dapat
    memberi gambaran dan visual yang jelas mengenai bentuk, rupa dan sifat hantu
    tersebut serta bagaimana cara untuk mengatasi sebarang gangguan mistik
    sekiranya ada. Setiap kisah yang ditonjolkan sarat dengan nilai murni untuk
    diambil sebagai teladan dan pengajaran agar kita tidak sewenang-wenangnya
    mempersendakan kewujudan makhluk ini.
  
  
    Daripada segi persediaan untuk menghasilkan drama seram, pihak produksi
    turut mendapatkan khidmat nasihat pengamal dan pakar dalam perubatan Islam
    sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini
    sewaktu di lokasi. Untuk pengetahuan, Imam Kanan Masjid Wilayah Persekutuan
    iaitu Ustaz Tuan Asmawi turut membuat penampilan istimewa dalam salah sebuah
    episod.
  
SINOPSIS & INFO DRAMA ‘MALAYSIAN GHOST STORIES’
    Menerusi paparan sebanyak 18 buah episod, himpunan penceritaan kisah seram
    berkaitan alam mistik legenda yang sering diceritakan secara turun temurun
    dalam pelbagai versi oleh masyarakat di Malaysia akan ditampilkan dengan
    sentuhan baharu.
  
  
    Sebanyak 18 buah cerita hantu yang berlainan akan dibawakan pada setiap
    episod seperti ‘Nenek Hostel’, ‘Hantu Kum Kum’, ‘Nenek Kebayan’, ‘Jin
    Pemusnah’, ‘Hantu Raya’, ‘Hantu Air’, ‘Balan-Balan’, ‘Pontianak’,
    ‘Langsuir’, ‘Pelesit’, ‘Hantu Jepun’, ‘Pocong’, ‘Nu Gui’ (Hantu Cina),
    ‘Nishi Dak’ (Hantu India), ‘Ulek Mayang’, ‘Hantu Tiada Kepala’, ‘Hantu
    Barang Antik’ dan ‘Hantu Jari’.
  
Barisan Pelakon Drama ‘MALAYSIAN GHOST STORIES’
    Seramai lebih 27 selebriti popular tanah air terlibat untuk menjayakan drama
    ini. Antaranya termasuklah Janna Nick, Zahiril Adzim, Meerqeen, Bella
    Astillah, Chubb-E, Syazwan Zulkifly, Nazeera Sardi, Ellie Suriaty, Adam
    Shahz, Anna Jobling, Keith Foo, Kazar Saisi, Amerul Affendi, Ara Johari,
    Hasnul Rahmat, Jasper Supayah, Azman Ahmad, Hanna Aqeela, Azar Azmi, Fimie
    Don, Nabil Aqil, Balkisyh Semundur Khan, Erry Putra, Hamdan Senario, Sabrina
    Ali, Eric Fuzi, Fadhli Masoot dan ramai lagi.
  
  
    Buat peminat kisah-kisah seram dan mistik, jangan lupa tonton drama
    MALAYSIAN GHOST STORIES pada setiap hari Isnin hingga Khamis di saluran
    Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124). Untuk pilihan yang lebih fleksibel,
    kedua-dua drama tersebut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On
    Demand.
  
