Sinopsis Drama 'Suara Hati' Gandingan Pertama Syafiq Kyle & Hanna Aqeela - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal Sinopsis Drama 'Suara Hati' Gandingan Pertama Syafiq Kyle & Hanna Aqeela

Trending

Sinopsis Drama 'Suara Hati' Gandingan Pertama Syafiq Kyle & Hanna Aqeela

DRAMA ADAPTASI NOVEL ‘SUARA HATI’ ANGKAT GENRE KEKELUARGAAN | Drama bersiri ‘Suara Hati’ merupakan sebuah lagi naskah adaptasi novel dengan judul yang sama nukilan novelis Anis Ayuni yang mengangkat genre kekeluargaan terbitan Astro Prima dan syarikat produksi Global Film Station Sdn. Bhd. Drama 13 episod arahan sutradara Emy Suffian atau lebih dikenali dengan nama panggilan Pyan Screw ini turut menampilkan Zetty Alia Dato’ Ramly sebagai penerbit eksekutif, Dato’ Zaiton Muhd Jiwa selaku penerbit serta Farah Alya As'ari sebagai penulis skrip.


Kisah ‘Suara Hati’ merupakan drama gandingan pertama Syafiq Kyle dan Hanna Aqeela selaku pasangan hero dan heroin menerusi slot Tiara di Astro Prima mulai 19 Julai ini.

Selain teraju utama tersebut, drama ini turut dijayakan oleh barisan pelakon seperti Zeera Hariz, Afzan A Rahman, Qistina Khaled, Syahir Shafein, Liza Rafar, Fazlina Ahmad Daud dan YM Dato’ Sri Rezza Shah.


Barisan Pelakon DRAMA ‘SUARA HATI’

Syafiq Kyle sebagai HARRIS
Hanna Aqeela sebagai HANI
Aidil Aziz sebagai NAIM
Zeera Hariz sebagai SURAYA
Afzan A Rahman sebagai AMIR
Qistina Khaled sebagai SARAH
Syahir Shafein sebagai RAMZI
Liza Rafar sebagai SHA
Fazlina Ahmad Daud sebagai KHATY
YM Dato’ Sri Rezza Shah sebagai JO



SINOPSIS DRAMA ‘SUARA HATI’

Mengisahkan Hani, seorang pelajar universiti bercinta dengan Harris yang juga aktif dalam aktiviti sukan. Hani kemudian diperkenalkan ibu bapanya dengan Naim, seorang pensyarah sambilan di universitinya. Hani dan Naim mula mesra apabila Naim mula menolong Hani untuk projek universiti Hani. Tetapi Hani hanya menganggap Amirul Naim hanyalah kawan biasa kerana Hani tahu, Naim dalam ada cita-cita untuk melamar teman wanitanya sebagai isteri.



Kebahagian Hani dengan Harris tidak berpanjangan apabila Harris dengan tiba-tiba menghilangkan diri tanpa khabar berita, dan terus membuatkan Hani kecewa. Hani yang kesedihan kerana kecewa dengan Harris, kemudian mula membuka pintu hatinya kepada Naim, yang juga baru gagal dalam percintaan.

Harris muncul semula, tetapi sudah terlewat kerana Hani sudah pun menerima cinta Naim. Perkahwinan Hani dan Naim bahagia untuk beberapa ketika, namun tragedi yang menimpa perkahwinan Hani dan Naim telah mula mematahkan semangat Hani untuk terus hidup. Di saat itu, Harris tiba-tiba muncul semula di dalam hidup Hani.


TRIVIA MENARIK DRAMA ‘SUARA HATI’

1. Keseluruhan penggambaran drama ‘Suara Hati’ mengambil masa lebih kurang sebulan di sekitar Kuala Lumpur.


2. Ini merupakan penglibatan pertama pelakon Syafiq Kyle dalam projek drama bersiri untuk slot Tiara di Astro Prima.

3. Drama ‘Suara Hati’ menyaksikan pelakon Hanna Aqeela kembali bekerjasama dengan Syafiq Kyle buat kali kedua. Hanna juga turut dikenali sebagai antara pelakon wanita yang aktif bermain bola sepak dan futsal. Oleh itu, kesemua babak futsal yang ditampilkan dalam drama ini dilakonkan sendiri oleh Hanna.


4. Buat pertama kalinya juga, Syafiq dan Hanna diketengahkan sebagai pasangan hero dan heroin menerusi drama ‘Suara Hati’. Mereka memegang watak sebagai Harris dan Hani.


5. Pengarah Emi Suffian berpendapat gandingan Syafiq dan Hanna mudah mencipta keserasian sebagai teraju utama dalam drama ini kerana kedua-dua mereka mempunyai minat yang sama iaitu aktif bersukan serta turut mempunyai jarak usia yang tidak jauh berbeza. Mereka juga saling mengambil berat dan memahami satu sama lain sebagai pelakon sekaligus memudahkan lagi proses penggambaran di set.


6. Selain itu, pelbagai babak menarik juga dapat dijayakan dengan penuh bersahaja kerana keharmonian yang terjalin di antara Syafiq dan Hanna.

7. Antara momen menarik yang bakal meninggalkan impak mendalam kepada penonton adalah adegan ketika pertembungan watak Harris, Hani dan Naim (lakonan Aidil Aziz) di sebuah kedai kek. Ketiga-tiga pelakon tersebut saling memberi reaksi yang berbeza perasaan sehingga membuatkan pengarah berasa terkesan dengan babak itu.


8. Antara babak mencabar dalam drama ini adalah sewaktu penggambaran di set lokasi gelanggang futsal. Situasi agak sukar dikawal pada ketika itu kerana ramai pengunjung yang berada di premis futsal tersebut. Namun cabaran tersebut dapat diatasi kerana Syafiq dan Hanna memang mahir bermain futsal lantas penggambaran menjadi mudah dan dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.


9. Single ‘Biar Aku Simpan’ nyanyian Bimasakti featuring Oktovia Manrose diangkat sebagai lagu tema untuk drama bersiri ini.

Drama ini bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 19 Julai 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post