Ulasan Filem Crazy Rich Asians (2018) | Duduki Tempat Pertama Box Office Di Amerika Syarikat Selama 2 Minggu

Semalam sempat Kak Bell menonton filem yang mendapat tempat pertama box office di Amerika Syarikat selama 2 minggu berturut-turut iaitu filem Crazy Rich Asians (2018). Filem yang dibuat dengan bajet USD30 juta ini berjaya mengumpul kutipan sebanyak USD238.5 juta dan mendapat sambutan, penangan hebat dari peminat filem bergenre komedi romantik. Walaupun dah basi filemnya, Kak Bell baru sahaja ada masa untuk menonton.


Crazy Rich Asians sebuah filem komedi drama romantik yang diadaptasi dari sebuah best selling novel dengan judul yang sama hasil tulisan Kevin Kwan. Filem arahan Jon M. Chu ini merupakan filem pertama Hollywood yang membariskan ke semua pelakon utamanya adalah pelakon berketurunan Asia-Amerika. Tambahan pula beberapa orang pelakon kelahiran Malaysia turut memegang watak utama di dalam filem ini menjadikan Kak Bell teruja untuk menontonnya. Henry Golding memegang watak sebagai Nick Young, Michelle Yeoh sebagai (Eleanor Young) disamping pelakon Carmen Soo. Bangga juga bila ada pelakon Malaysia yang telah menembus pasaran filem Hollywood!


Diterbitkan oleh Nina Jacobson dan Brad Simpson dari Color Force ini turut membariskan Constance Wu, Gemma Chan, Lisa Lu, Awkwafina, Ken Jeong, Ronny Chieng dan pelakon Asia lainnya. Filem Crazy Rich Asians telah menerima banyak penghargaan, termasuk nominasi Golden Globe Awards ke-76 untuk kategori Filem Terbaik - Musikal atau Komedi dan Pelakon Wanita Terbaik untuk Wu dan memasuki rekod pelakon wanita Asia pertama yang dinobatkan dalam kategori tersebut.


Genre: Komedi Romantik
Pengarah: Jon M. Chu
Penerbit: Nina Jacobson, Brad Simpson, John Penotti
Penulis: Peter Chiarelli, Adele Lim (asal Malaysia)
Pelakon: Constance Wu (Rachel Chu), Henry Golding (Nick Young), Michelle Yeoh (Eleanor Young), Gemma Chan (Astrid Young Teo), Lisa Lu (Ah Ma), Awkwafina (Peik Lin Goh), Harry Shum Jr. (Charlie Wu), Ken Jeong (Wye Mun Goh), Sonoya Mizuno (Araminta Lee).
Tayangan: August 22, 2018 (Malaysia)
Box office: 238.5 million USD


Cerita mengisahkan Rachel Chu (Constance Wu) yang mengikuti Nick Young (Henry Golding) pulang ke tanah airnya Singapura untuk menghadiri majlis perkahwinan kawan dia. Semasa dalam perjalanan menaiki pesawat kelas pertama, Rachel Chu baru tahu yang Nick Young adalah anak orang super kaya Singapura. Jadi kedatangan Rachel Chu jadi buah mulut orang kaya yang tertanya-tanya siapakah Rachel Chu. Adakah anak kepada seorang konglemerat yang setaraf seperti keluarga Young?

Pada awal filem, babak Eleanor Young (Dato Michelle Yeoh) yang memesan suite hotel tetapi ditolak mentah-mentah oleh kebanyakan hotel di London disebabkan statusnya sebagai orang Asia menyebabkan Eleanor menghubungi suaminya dan terus membeli hotel tersebut. Terus terdiam pekerja hotel, hujung-hujung Eleanor jadi pemilik hotel baru. Terus disuruhnya pekerja tadi mop lantai yang basah. Baru di awal filem, Kak Bell sudah terasa filem ini pasti menarik.


Rupa-rupanya jejaka tampan Nick Young memang menjadi kegilaan wanita-wanita kelas atasan Singapura. Maklumlah anak orang paling kaya kan. Dahla hensem pulak. Maunya tulang rusuk pompuan-pompuan tu tak bergetar! haha. Semasa hari bachelor parti Araminta Lee (Sonoya Mizuno), para wanita yang tak puas hati terhadap Rachel bersekongkol untuk menjatuhkan dan membuat Rachel pergi dari Nick. Amanda (Jing Lusi) yang pura-pura baik terhadap Rachel memberitahu Rachel bahawa dia merupakan mantan kekasih Nick Young.

Cabaran terbesar bagi Rachel adalah ibu Nick sendiri yang amat mementingkan pasangan anaknya mesti dalam kelas dan berstarta sama dengannya. Rachel dianggap tidak sepadan kerana Rachel adalah imigrant China berwarganegara Amerika dan terus mendapat penolakan besar dari keluarga Nick setelah mengupah penyiasat mencari tahu latar belakang Rachel.


Filem Yang Mengutamakan Tradisi Keluarga Adalah Segalanya

Jalan cerita Crazy Rich Asians sangatlah sederhana, plot mudah difahami, tidak berbelit-belit dan memaparkan perbezaan kelas dan gaya hidup mewah konglemerat Singapura. Filem ini boleh dikatakan dekat dengan cara kehidupan dan tradisi masyarakat Cina Asia yang mengutamakan tradisi keluarga tetapi tidaklah mewakili secara keseluruhannya. Walaupun filem ini berkisar soal cinta antara dua darjat, mesej yang jelas dapat dilihat bahawa restu orang tua adalah segalanya.


Para pelakon Crazy Rich Asians semuanya berperan dan membawakan watak dengan amat baik. Semuanya nampak kena, natural dan tidak berlebih-lebihan. Lakonan Dato Michelle Yeoh pun mantap, walaupun dia memuji Rachel seorang yang bijak sebagai seorang profesor Ekonomi, tetapi secara halus Eleanor menunjukkan penolakan dia terhadap Rachel. Watak yang dibawakan oleh Awkwafina juga tidak kurang hebat. Suka sangat dengan watak dia yang gila-gila dan menghidupkan suasana dalam filem ni. Tidak dibuat-buat!

Untuk watak Nick Young, lakonan Henry Golding pun ok. Nampak watak tu memang sesuai untuk dia. Lepas ni Kak Bell nak tonton The Gentleman untuk lihat keupayaan lakonan dan watak ang dibawa oleh Henry Golding. Apa-pun dia dah popular kat Hollywood. Satu lagi watak yang menarik adalah watak Astrid Young Teo lakonan Gemma Chan yang tenang, lembut dan berjaya menonjolkan kesedihan dan kekuatan seorang wanita yang berhadapan suaminya yang curang.


Dalam filem ni ada dialong dalam bahasa Kantonis, slang Cina Singapura dan ada 1 babak Nick Young bertutur dalam bahasa Malaysia ketika memesan sate. Soronok tonton sebab memang menonjolkan realiti bahasa pertuturan masyarakat Asia. Menariknya ada lagu popular yang dialih bahasa menjadi lagu Cina selain lagu-lagu latar yang sesuai dan tidak menjengkelkan.


7 Lokasi Filem Crazy Rich Asians Adalah Di Malaysia

Lokasi, rumah mewah dalam filem ini memang mengagumkan. Sangat menonjolkan ciri-ciri rumah bangsa Cina yang kaya. Tapi nampak sangat filem ini macam tak nak mempromosikan Malaysia dan semua orang ingat kebanyakkan lokasi shooting adalah di Singapura. Diantara lokasi yang dimaksudkan adalah Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur; Cheong Fatt Tze Mansion, Penang (babak main mahjong); Four Seasons Resort, Langkawi (dikatanya di Indonesia); Astor Bar St. Regis KL; Eastern & Oriental Hotel, Penang; BLVD House, Kuala Lumpur dan Be-landa House, Kuala Lumpur.


Suasana malam perkahwinan yang dibuat di CHIJMES dan Gardens by the Bay, Singapura sudah tentulah sangat memukau. Meriah dengan cahaya lampu, siap ada air masa pengantin jalan macam runaway model pula cabaran catwalk di atas air. Pakaian, perhiasan, warna, semuanya memang nampak mewah, classy dan mahal. Padanlah dengan Crazy Rich Asians!

Pendapat Kak Bell filem ni memang sangat best untuk tontonan untuk sebuah filem komedi romantik. Momen akhir antara Eleanor dan Rachel bersemuka semasa permainan mahjong di Cheong Fatt Tze Mansion memang sangat berkesan. Korang kena tonton sebab part ni Rachel beritahu dia tolak lamaran Nick Young kerana dia pun tak ingin jadi ahli keluarga Young. Happy ending ke sad ending? Plot twist? Ha, Kak Bell malas cerita. So, Kak Bell bagi 8/10 bintang!

CONVERSATION

1 comments:

  1. Waaa nak tengoklah, cantik laa semua scene photobomb dia, Sis google tadi kejap hahahaa

    ReplyDelete

Back
to top