Resepi Basil Pesto Pasta (Selasih) Dengan Ayam Panggang - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal Resepi Basil Pesto Pasta (Selasih) Dengan Ayam Panggang

Trending

Resepi Basil Pesto Pasta (Selasih) Dengan Ayam Panggang

Hi semua! Sekejap sahaja sudah menjengah ke bulan September tahun 2020. Cepat sungguh masa berlalu. Sudah lama juga Kak Bell tidak berkongsi resepi masakan. Sesungguhnya memang tak sempat nak siapkan entri terbaru. Memasak pun dah jarang ya amat. Memanjang tak sempat.


Sebenarnya dah ada 4 entri resepi yang sudah diedit gambarnya, resepi masa Raya Aidiladha haritu pun masih tak sempat nak karang. Walaupun hari ini kepenatan mengemas rumah, Kak Bell gigihkan diri siapkan entri resepi ini.

Minggu lepas ketika meneman kawan membeli-belah barang dapur di Glo Damansara, terus Kak Bell ikut serta beli barang yang sama nak menyediakan pasta sos hijau. Terus terang Kak Bell belum pernah mencubanya. Disebabkan resepi pasta homemade ini amat mudah hendak disiapkan, jadi Kak Bell cuba sahajalah. 


Resepi pasta sos hijau ini selalunya menggunakan daun selasih (basil), bayam (spinach) atau daun ketumbar. Warna hijau pada masakan pasta ini asalnya dari sayuran yang dijadikan sebagai sos pasta. Jika tidak mahu gunakan bahan sayuran hijau yang segar, boleh sahaja gunakan sos segera yang ada. Untuk jenis pasta, boleh gunakan apa jua jenis pasta kesukaan dan kekacang yang digunakan adalh pine nut. Disebabkan harga pine nut yang bukan kaleng-kaleng, sepeket harganya RM26, Kak Bell gunakan kacang gajus (cashew).


Resepi kali ini Kak Bell gunakan selasih (basil), pasta angel hair, minyak zaitun (olive oil) dan kacang gajus (cashew). Untuk basil boleh sahaja gunakan basil biasa, basil Cameron atau Sweet Basil.

Bahan A (Pasta)
Pasta kesukaan *direbus
1 ulas bawang putih *dicincang
Sedikit lada benggala *didadu/hiris
1-2 sudu olive oil *untuk tumisan
Keju parmesan (grated/serbuk)

Bahan B (Sos Pesto)
1 paket basil segar (selasih)
1 paket kacang gajus (cashew)
2 ulas bawang putih
Garam secukup rasa
Perasa jika suka

Bahan C (Ayam Panggang)
2 bahagian ayam
Kicap pekat
Kicap manis/lemak
Sedikit garam
serbuk kunyit
serbuk lada hitam (black pepper)
serbuk paprika
**kuantiti bahan secukup rasa

Cara memasak:

1) Panaskan kuali atau pemanggang, panggang ayam yang diperap sehingga masak. Kak Bell gunakan air fryer.


2) Goreng kacang gajus tanpa minyak atau panggang menggunakan air fryer (lebih mudah) hingga perang dan ketepikan.


3) Panaskan air, masukkan sedikit garam, minyak masak dan rebus pasta hingga lembut. Masa merebus bergantung kepada jenis pasta. Tos dan ketepikan.
4) Masukkan daun basil segar, semua Bahan B dalam blender/food processor dan kisar halus.


5) Tumis 2 ulas bawang putih yang dicincang, lada benggala hingga wangi dan tutupkan api.


6) Masukkan sos pesto, sedikit garam bersama pasta di ataspan/kuali yang masih panas dan gaulkan rata.
7) Taburkan keju parmesan (serbuk/diparut) di atas hidangan beserta hirisan ayam panggang tadi.


TIPS!

  • Untuk perapan ayam boleh tambah paprika + brokoli
  • Boleh gunakan apa jua jenis pasta kegemaran
  • Rebus pasta seketika sahaja jika gunakan pasta mudah lembut
  • Selepas tumis Bahan A, hanya gaulkan Bahan B dengan pasta di atas pan yang masih panas (tanpa buka api)
  • Boleh gunakan sweet basil
  • Simpan baki sos pesto dalam bekas, simpan dalam peti ais
  • Boleh perasakan dengan MAGGI CukupRasa.
  • Tambah extra keju parmesan untuk lebih sedap
  • Boleh tambah sedikit tomato ceri


Memang sedap sangat rasa Basil Pesto Pasta Angel Hair ni. Disebabkan terleka seketika, Kak Bell dah terlebih masa merebus pasta angel hair tadi dan terlebih lembut. Akan datang Kak Bell akan gunakan spageti atau pasta lain seperti pasta spiral atau penne. Bolehlah anda semua cuba resepi pasta dengan sos pesto homemade yang amat mudah ini. Jangan lupa taburkan lebih keju Parmesan (Parmiggiano Reggiano) memang mengancam!
Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post