Resepi Ikan Mackeral Sos Cili Ayam Brand

Hi semua. Macammana dengan puasa hari ini? Berbuka apa tadi? Kak Bell untuk hari ini cuma berbuka dengan cucur udang dan Maggi Kari Nyonya. Semua bahan-bahan ada, jadi memasak sendiri sahajalah. Sekarang Kak Bell kena lebih gigih sedikit untuk siapkan artikel resepi. Masuk hari ini dah ada 3 resepi tertunggak. Ada juga pembaca dah meminta-minta resepi masakan tersebut. InsyaAllah Kak Bell siapkannya dalam minggu ini juga.


Kebiasaanya Kak Bell akan masak ikan sardin dan kali ini Kak Bell gunakan ikan Mackeral. Dah biasa sangat gunakan sardin dan mackeral dalam sos tomato, kali ini Kak Bell cuba pula Fried Mackerel Chilli Sauce dari Ayam Brand. Cuba juga jenama lain, tapi tetap Ayam Brand menjadi pilihan.


Untuk info anda semua, ikan Mackerel ini memberi mengandungi Omega 3 dan amat kaya dengan Vitamin B12. Vitamin B12 ini ideal untuk sistem saraf dan ianya tidak boleh didapati di dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. Kalau dapat cari ikan Mackeral segar pasti lebih kaya dengan khasiatnya kan.


Masakan ini memang Kak Bell buat simple sangat. Sekadar campak-campak sahaja sebab kemalasan tiba. Ingatkan nak buat lebih bersambal dan kering sedikit tetapi malas nak buat cili kisar. Jadi kak Bell pakai sahaja kuah sos cili sedia ada.

Bahan-bahan
1 tin Fried Mackerel Chilli Sauce
1/2 biji bawang besar/Holland
2 ulas bawang putih
1 biji tomato
1 keping asam jawa kering
1/2 biji limau kasturi
Sedikit lada benggala
Brokoli
1 sudu kicap manis
1 sudu sos tiram
Garam dan perasa
Gula secubit

Cara memasak:
1) Asingkan ikan mackeral dengan kuahnya, ketepikan.


2) Panaskan minyak, tumis bawang putih, sebahagian bawang besar/Holland dengan sos tiram. Tumis hingga wangi/lutsinar.


3) Masukkan hirisan lada/cili dan brokoli. Kacau seketika.
4) Tambahkan kuah yang diasingkan tadi dan boleh tambah air jika nak lebih kuah.


5) Masukkan kicap manis, garam, gula dan perasa.
6) Akhir sekali masukkan tomato, ikan mackeral dan baki bawang tadi. Masak hingga tomato layu.


7) Perahkan limau kasturi dan sedia dihidangkan.

TIPS!
  • Bawang boleh hiris bulat atau ikut suka
  • Boleh gunakan limau kasturi atau limau nipis
  • Untuk lada boleh pakai lada merah
  • Boleh pakai air asam jawa jika tidak gunakan asam keping
  • Jika suka, tambahkan sedikit hirisan halia
  • Jika gunakan kentang, pastikan kentang lembut atau rebus terlebih dahulu
  • Perahan limau kasturi/nipsi untuk hilangkan hanyir dan sedapkan masakan


Mudah sahaja kan. Tu nampak tak anak-anak bulus Kak Bell tolong teman masak. Memang menyibuk la kejenya tambah pulak bau ikan. Brokoli tu sengaja Kak Bell campakkan sekali supaya senang  tak payah masak sayur. Selamat memasak!

CONVERSATION

0 comments:

Post a comment

Back
to top