Resepi Cucur Udang Rangup

Hi awak semua. Semalam bersahur Kak Bell tak larat nak menjamah nasi jadi teringin nak makan ringan-ringan seperti kuih-muih sahaja. Disebabkan seharian siang harinya mengemas rumah, mengemop lantai sebab anak-anak bulus banyak di rumah. Jadi kenalah kerap membersihkan rumah. Tambah pula musim Covid sekarang ini, elok sangatlah dicuci bersih dengan dettol. Bila dah terlalu penat tak lalu pula nak makan. 


Disebabkan kurang selera, Kak Bell buat cucur udang. Cucur biasa tu memang dah selalu buat tapi kali ini nak cuba buat cucur udang yang rangup dan lembut di dalamnya macam yang dijual di kedai. Rupa-rupanya cucur udang lembut ni menggunakan yis (mauripan) atau soda bikarbonat untuk menjadikannya lembut. Padanlah kalau buat cara biasa, sampai satu tahap keras dan tidak sedap hendak dimakan. Harga cucur udang yang dijual pun boleh tahan mahalnya. Eloklah buat sendiri, udang seekor supaya puas makan.


Untuk membuat cucur udang rangup yang sedap, mestlah gunakan minyak memasak dengan kuantiti yang banyak. Terpaksa pasrahlah kerana kalau cucur digoreng dalam minyak yang sidikit, nanti tidak rangup pula kejadiannya. Keadaan api memasak pun penting. Jika cucur digoreng dalam minyak yang tidak panas akan menyebabkan cucur terlalu berminyak' dan minyak menggoreng yang terlalu panas pula akan membuatnya cucur menjadi hangit. Jadi, mesti gunakan api sederhana panas untuk dapatkan cucur yang rangup.

Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum
1 biji telur
1/2 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu besar tepung beras/tepung jagung
Air (ikut anggaran untuk bancuhan tepung)
1/2-1 sudu teh garam
1/3 sudu teh soda bikarbonat
Minyak masak

Bahan B (hiris/potong)
1/3 batang lobak
1 biji cili merah/benggala/capsicum
1 biji bawang besar (saiz sederhana)
Sedikit daun bawang


Cara membuatnya:
1) Pecahkan telur dan pukul telur dalam bekas.
2) Masukkan 1 sudu besar minyak masak dan air biasa bersuhu bilik dan kacau sebati.


3) Masukkan tepung gandum, soda bikarbonat, tepung beras atau tepung jagung dan kacau adunan hingga sebati.
4) Masukkan bahan B, serbuk kunyit dan gaul rata.


5) Panaskan senduk/sudip yang digunakan dalam minyak panas seketika dalam 30 saat-1 minit.
6) Letak adunan dalam senduk dan letak udang seekor.


7) Goreng dengan api sederhana, guna sudu kecilberlainan dan mandikan cucur dengan minyak.
8) Gunakan sudu kecil tadi dan keluarkan cucur dari senduk.


9) Goreng hingga warna kuning keemasan.

TIPS!
  • Tidak perlu gunakan air sejuk atau air panas untuk membancuh
  • Boleh gunakan udang kertas atau ikut kesukaan
  • Kerat bahagian muncung tajam udang, buang janggut dan separuh kulitnya
  • Boleh gunakan taugeh dan daun kucai
  • Boleh guna yis ganti soda bikarbonat. 1/2 sudu besar yis (mauripan) dan bancuh pakai air suam dan gula.
  • Jangan guna air panas untuk membancuh yis kerana ia akan membunuh yis. Gula akan aktifkan bancuhan yis dan adunan akan berbuih menandakan yis hidup dan boleh digunakan
  • Gunakan minyak yang banyak untuk goreng terendam supaya cucur ranggup
  • Goreng cucur dalam minyak sederhana panas
  • Gunakan sudip atau senduk leper supaya hujung cucur garing

Oklah hasil kejadian cucur udang Kak Bell ni. Memang sedap jika dimakan dengan kuah kacang atau sos cili. Terus mengidam nak makan pasembur lah pula. Disebabkan tak master lagi buat kuah kacang dan malas nak buat sos, Kak Bell makan dengan sos cili botol sahaja. Sedap juga kan.


Ada kawan bertanya kenapa tak buat bulat cucurnya? Kak Bell tak ada senduk bulat, ada yang leper sahaja. Cliche la sama dengan orang lain buat bentuk bulat. Kalau boleh nak juga buat bentuk petak. Hehe. Oklah selamat mencuba cucur udang rangup!

CONVERSATION

1 comments:

  1. Alaaaa....terus rasa nak buat cucur udang jugak...akak biasa letak mauripan untuk bagi dia gebu gebas..nanti boleh la cuba letak soda bikarbonat...

    ReplyDelete

Back
to top