Konsert Ella Unplugged In KL Mantap!

Telah berlalu konsert hari pertama Ella Unplugged In KL di Istana Budaya malam tadi. Konsert yang akan diadakan selama 3 malam bermula pada 29, 30 dan 31 Mac 2019 memang bukan sekadar konsert biasa. Sebagai seorang penyanyi yang telah lebih dua dekad bersemayam dalam industri muzik, konsert bukan sesuatu yang asing buat Ella. Namun kali ini untuk pertama kalinya, Ella tampil dengan konsep konsert akustik yang pertama kali dibawakan oleh Ella.


Memang havoc konsert Ella Unplugged In Kuala Lumpur hari pertama di Istana Budaya. Keseluruhan panggung penuh dengan peminat-peminat setia Ratu Rock Negara ini. Bayangkan apabila lagu-lagu hits Ella berkumandang! Konsert malam tadi juga turut dicemar duli oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang turut sama menghadiri konsert tersebut.

Dalam konsert berdurasi 1 jam 30 minit dibawakan melalui 3 segmen persembahan iaitu Segmen Peace (Akustik), Segmen Love (Asli) dan Segmen Rindu (Rock & Roll). Segmen persembahan Ella Unplugged In KL di ambil dari judul album terbaru Ella iaitu Peace.Love.Rindu dan dianjurkan oleh Projekt Ella Sdn. Bhd. selain diarah oleh pengarah konsert Peah Rafie dan Roza @ Rio Rasul sebagai pengarah Muzik. 


Untuk segmen Akustik, Ella membawakan lagu Nuri, Permata Pemotong Permata, Layar Impian, Medley Cinta Dusta/Esok Selamanya/Aku Kau Dia/Tiada Tangis Lagi/Penjara Misteri, Demi, Cinta Selembut Sutera, Rama-Rama dan Sepi Sekuntum Mawar Merah 2 (2005). Dalam segmen pertama ini juga Ella telah menyanyikan lagu duet Pergilah Sayang feat Korie dan berduet bersama suaminya Captain Azhari untuk lagu Mendung Tak Bererti Hujan dan lagu Peace.Love.Rindu.


Dalam konsert kali ini, Ella membawakan lagu-lagu asli melalui segmen Love. Antara lagu yang dinyanyikan ialah Sayang Di Sayang, Keroncong Kemayoran, Tak Seindah Wajah selain lagu Sembilu juga juga telah dibawakan dalam genre asli. Untuk segmen ini, pihak Ella berkerjasama dengan JKKN dengan melibatkan penari cilik PERMATA dan persembahan pemuzik alat muzik tradisional di dalam segmen ini. Persembahan tarian untuk lagu Zapin Pematah Hati (lagu Nabila Razali) sangat menarik dan menjanjikan kelainan konsert Ella Unplugged In KL.


Ella yang dikenali dengan kerektor manjanya turut mencuit hati penonton semalam dan berseloroh yang dia berasa agak nervous. Walaubagaimanapun demi peminat, beliau terus akan menghiburkan semua peminat. Untuk konset ini, Ella ditata rias oleh Jiman Casablanca dan mengenakan busana yang direka oleh Syomir Izwa, Ezzati Amira, Kit Woo dan Joe Chia. Ternyata dalam umurnya ketika ini, Ella masih mampu memberikan persembahan terbaik dan membuktikan beliau masih relavan sebagai penyanyi Rock Wanita terbaik negara. 



Persembahan diteruskan dengan segmen Rindu (Rock & Roll) yang menampilkan rangkaian lagu-lagu rock beliau. Diantara lagu yang dinyanyikan seperti Permata Biru, Kitalah Bintang, Puteri Kota, Cinta Berakhir, Dua Insan Bercinta, Bayangan, Kesal, Pengemis Cinta dan Gemilang. Dewan Istana Budaya terus gamat dengan para menonton yang turut menyanyikan lagu bersama-sama dengan Ella.

Konsert ini yang turut mendapat sokongan dan kerjasama ASWARA dimana pihak ASWARA telah diberi peluang daripada pihak PROJEK ELLA dengan melibatkan alumni dan pelajar tahun akhir dalam perancangan serta pengendalian pengurusan pentas sebelum dan selepas konsert berlangsung. Sebahagian daripada jualan tiket konsert ini juga akan disumbangkan kepada Yayasan Autism Malaysia.


Orang ramai yang ingin dapatkan tiket konsert Ella Unplugged In Kuala Lumpur boleh layari laman web www.proticket.com.my.

Kredit photo Iqbal Rosli

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment

Back
to top