#AZ40 Anuar Zain 40th Anniversary Concert, Perjalanan 40 Tahun Dalam Dunia Seni - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal #AZ40 Anuar Zain 40th Anniversary Concert, Perjalanan 40 Tahun Dalam Dunia Seni

Trending

#AZ40 Anuar Zain 40th Anniversary Concert, Perjalanan 40 Tahun Dalam Dunia Seni

Sempena meraikan 40 tahun perjalanan dan pembabitan dalam industri muzik tanah air, penyanyi Anuar Zain, 53, bakal tampil dalam Anuar Zain 40th Anniversary Concert yang dijadual berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 Oktober depan.

Anuar Zain 40th Anniversary Concert AZ40

Perjalanan selama 40 tahun merentasi industri seni bukanlah satu perjalanan yang singkat lebih lebih lagi apabila bermula dari seorang penyanyi kanak-kanak (1983) sehinggalah menjadi penyanyi solo lelaki berprofil tinggi. Nama Anuar Zain sudah mempunyai tempat yang utuh dan khas di hati peminat dan penggemar muzik beliau.

Empat dekad membina legasi dalam industri muzik tempatan, Anuar Zain; vokal merdunya, senyum manisnya, aura dan pesonanya yang kuat, serta untaian lagu-lagu miliknya yang cukup popular dan turut menerima pelbagai pengiktirafan di sepanjang karriernya, terus kukuh menjadi antara penyanyi yang disanjungi sehingga kini dan berada didalam liganya yang tersendiri.

Anuar Zain 40th Anniversary Concert AZ40

Beliau menjadi penghibur yang disegani dimana setiap kemunculannya dinanti – nantikan, biar dalam majlis korporat, majlis berprofil tinggi dan eksklusif atau terkadang hanya untuk melihat persembahan beliau mendendangkan beberapa buah lagu di acara terbuka.

Lantas saat penganjur JioBuddy mengumumkan akan menganjurkan “Anuar Zain 40th Anniversary Concert”, ia adalah sebuah khabar gembira yang dinanti-nantikan oleh seluruh penggemar muzik beliau yang bukan hanya berada di Malaysia tetapi juga dari negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.

Bagi pihak penganjur, konsert ini akan menjadi sebuah lagi lakaran sejarah yang penting buat pelantun lagu Lelaki Ini dalam perjalanan karier seninya yang sentiasa mendapat sokongan positif dari semua pihak.

Anuar Zain Kembali Ke Stadium Malawati Shah Alam Setelah 10 Tahun

Mengulas pemilihan lokasi konsert, Anuar berkata, Stadium Malawati yang terletak di Shah Alam menyimpan pelbagai nostalgia manis buat dirinya, malah mempunyai kelengkapan sesuai untuk penganjuran konsert.

Anuar Zain 40th Anniversary Concert AZ40

"Saya sudah mengadakan konsert di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, tetapi Stadium Malawati memberi saya nostalgia yang sangat manis. Bagi saya, lokasi itu sangat praktikal kerana ia berbentuk empat segi dan sangat senang bekerja. Malah, pencahayaan dan sistem bunyian yang dimiliki sangat baik."

Bakal menghibur peminat dengan untaian lebih 20 lagu, Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain berkata, tujuan penganjuran konsert kali ini adalah tanda terima kasih kepada peminat atas sokongan yang tidak pernah luntur sepanjang empat dekad. Bunga ros merah di dalam poster rasmi konsert AZ40 merupakan simbol ucapan ‘I love you and thank you’ Anuar buat para peminatnya.

Sementara itu bagi Anuar Zain pula, beliau berharap pada mereka yang telah bersama-sama beliau di dalam Konsert Anuar Zain 3 Dekad pada tahun 2013 yang lalu dan juga pada yang masih belum berkesempatan untuk turut hadir bersama pada “Anuar Zain 40th Anniversary Concert”.

Jennifer Thompson merupakan pengarah konsert ini manakala Sze Wan dipertanggungjawabkan sebagai pengarah muzik untuk Anuar Zain 40th Anniversary Concert bersama lebih kurang 25 orang pemuzik-pemuzik handalan tanah air.

Sudah tentu juga sepanjang 40 tahun Anuar Zain mempunyai himpunan lagu hits yang pelbagai. Tentu sahaja lagu seperti Lelaki Ini, Perpisahan, Bila Resah, Sedetik Lebih dan Keabadian Cinta akan menjadi halwa telinga yang bakal disampaikan secara langsung dari lantunan merdu penyanyi hebat ini.

Harga Tiket Anuar Zain 40th Anniversary Concert

Tiket-tiket akan mula dijual pada 12 Julai 2023 mulai jam 10 pagi di www.jiotix.asia atau hubungi talian hotline tiket di +6011 510 03 111. Tiket-tiket berharga RM1188 (VIP 1), RM888 (VIP 2), RM488 (Diamond) RM388 (Platinum) dan RM 188 (Gold).

Anuar Zain 40th Anniversary Concert AZ40

Untuk pembeli tiket pada hari pertama jualan (12 Julai 2023), anda akan berpeluang untuk memenangi telefon bimbit jenama FreeYond. Bagi pembeli tiket VIP 1 & 2 pula, mereka bakal mendapat cenderahati berupa AZ40 Premium Gift Box yang ditaja oleh Arombay, istimewa sempena konsert ini.

Raikan temujanji anda bersama Anuar Zain pada 28 Oktober 2023 jam 8.30 malam sempena Anuar Zain 40th Anniversary Concert di Malawati Indoor Stadium, Shah Alam.

Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post