JOM MANDI MANDA DI TAMAN TEMA AIR SEKITAR SELANGOR

Taman tema air di Negeri Selangor telah mula beroperasi semula selaras kelonggaran dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Orang ramai sudah boleh mula untuk membawa anak-anak untuk bermandi-manda pada hujung minggu, atau nikmati keseronokan ini bersama rakan taulan di taman tema air.


Taman tema air merupakan tarikan pelancongan yang digemari semua lapisan masyarakat tidak kira usia. Permainan gelongsor dan ombak buatan sememangnya tarikan yang sinonim dengan taman tema air. Setiap taman tema air juga mempunyai keunikan yang tersendiri. Hanya individu yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 dibenarkan mengunjungi taman tema air di Negeri Selangor. Jom lihat senarai tema air di Selangor untuk kunjungan anda beriadah.


1) Sunway Lagoon

Sunway Lagoon, teman tema air yang terletak di Bandar Sunway, Subang Jaya. Taman tema air Sunway Lagoon ini dilengkapi dengan tarikan gelongsor pelbagai jenis yang sangat mengujakan. Antara tarikan popular di Sunway Lagoon yang sangat digemari para pengujung adalah Vuvuzela, Little Zimbabwe, Waterplexx 5D, Surf Beach dan banyak lagi!

Kredit: Sunway Lagoon by kaionn.75 @IG

Sempena pembukaan semula pada 7 Oktober 2021, Sunway Lagoon telah memperkenalkan aktiviti berkelah yang dinamakan “Camp Out! at Sunway Lagoon”. Jadi, rasai sendiri pengalaman bermalam di Sunway Lagoon yang pertama kali diperkenalkan ini!

2) Bangi Wonderland Theme Park & Resort

Bangi Wonderland merupakan taman tema air yang dikelilingi oleh hutan rekreasi dengan keluasan 12 ekar. Lokasinya yang terletak di tengah antara Bandar Semenyih dan Bangi sememangnya sesuai bagi anda yang ingin melarikan diri dari kesibukan kota. Bangi Wonderland menawarkan 14 permainan yang menyeronokkan, antaranya Anaconda Trail, Body Slide, Green Pearl dan banyak lagi!

Kredit: Bangi Wonderland Theme Park & Resort by ohmedia @IG


3) Waterworld @ I-City

Selain daripada cahaya lampu LED dan taman tema salji yang menjadi tarikan popular para pengunjung di i-City, Shah Alam, taman tema air di sini harus juga diberi perhatian kerana Waterworld i-City ini menawarkan aktiviti yang amat menarik dan memberikan pengalaman yang luar biasa kepada para pengunjung! Jom cuba satu-satunya Tornado Ride yang terdapat di Asia Tenggara, yang mencabar keberanian anda dan tentunya menyeronokkan!

Kredit: Waterworld @ i-City by littlehumansonthe @IG

4) Wet World Water Parks Shah Alam

Wet World Water Parks Shah Alam ini sudah beroperasi sejak 1996 lagi! Ianya menjanjikan keseronokan kepada para pengunjung, lebih-lebih lagi pada si kecil. Antara tarikan popular yang anda boleh cuba cuba di sini ialah Super Hurricane, Monsoon Buster, Thunder River dan Kiddy Typoon Lagoon. Pilihan aktiviti yang ditawarkan di sini adalah sesuai untuk kanak-kanak, dan kebanyakan kolam di sini adalah berparas cetek. Jadi, anda boleh bawa anak anda ke Wet World Water Parks Shah Alam pada masa cuti nanti!

Kredit: Wet World Water Parks Shah Alam by alifeady @IG


Taman tema air kerap kali dikunjungi secara berkumpulan atau beramai-ramai agar lebih meriah. Tambahan pula, taman tema air merupakan hiburan yang dapat dinikmati tanpa mengira usia. Menariknya lagi, sesetengah taman tema air turut menyediakan tempat penginapan sekiranya sehari tidak cukup untuk anda menikmati semua aktiviti yang ditawarkan. Debaran permainan gelongsor yang curam dan ketenangan kolam renang memberi penangan yang hebat kepada para pengunjung. Jangan ketinggalan untuk menikmati pengalaman taman tema air yang menakjubkan di Negeri Selangor ini!

Walau bagaimanapun, adalah diingatkan kepada kita semua untuk berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dalam memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap, terutamanya ketika memasuki premis-premis di Negeri Selangor. Maklumat lanjut, boleh layari www.selangor.travel.

1 comment:

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.