DRAMA MINI ‘SAGA’ KETENGAH SUKAN TEMPUR MMA - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal DRAMA MINI ‘SAGA’ KETENGAH SUKAN TEMPUR MMA

Trending

DRAMA MINI ‘SAGA’ KETENGAH SUKAN TEMPUR MMA

Drama mini bersiri ‘SAGA’ ialah sebuah naskhah asal bertemakan pertarungan seni bela diri campuran atau Mixed Martial Arts (MMA) terbitan syarikat produksi MediaCorp TV Singapore Pte. Ltd. yang berpangkalan di Singapura. Drama ini memaparkan sebuah kisah konflik tentang pengorbanan, pergolakan, dendam dan kekeluargaan.


Plot penceritaan drama ini berkisarkan kegiatan mengatur perlawanan dan aktiviti pertaruhan haram yang melibatkan sukan tempur MMA. Meskipun sarat dengan aksi lasak, kisah ini turut menggabungkan elemen drama kekeluargaan dan pengorbanan dalam naratif penceritaan mengusik jiwa yang penuh mendebarkan.

Konsep asal dan skrip drama mini empat episod ini diilhamkan oleh Amanah Mustafi serta turut mendapat sentuhan Faisal Ishak selaku pengarah. Drama ‘SAGA’ diterajui oleh barisan bintang popular kelahiran Kota Singa seperti Dato’ Aaron Aziz, Nick Mikhail, Jeff Catz, Nadiah M. Din, Syarif, Shahrin Azhar, Imam Shah dan Hamidah Salim. Lebih istimewa lagi, drama ini turut diserikan dengan penampilan khas oleh Allahyarham J A Halim.


SINOPSIS DRAMA ‘SAGA’

Andy baru dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman bagi jenayah yang tidak sengaja dilakukan. Sewaktu ketiadaan Andy, adiknya Rudy yang masih belajar mengambil alih menjaga ibunya yang sudah uzur. Rudy membenci abangnya kerana Andy membawa aib pada keluarga. Biarpun masa depannya kelam, Andy gembira menghabiskan masa di gelanggang tinju. Ia memberinya peluang melepaskan kekecewaan hidupnya.


Sementara itu, Din Cobra pula berusaha menjadi juara dalam pertarungan MMA. Pegawai promosi, Ryan gembira dengan perlawanan yang Din Cobra tunjukkan kerana ia memberikannya keuntungan besar. Ryan menjadikan MMA sebagai usaha niaga di mana dia mengatur pertaruhan dan perlawanan. Namun, wang lumayan yang diperolehi lenyap dalam sekelip mata di kasino.

Selepas berbulan lamanya, Andy masih gagal memperolehi sebarang pekerjaan. Dengan bantuan rakannya, Andy mendapat pekerjaan sebagai ‘bouncer’ di kelab malam. Pada satu malam, dia dapati Jun, pelayan kelab di tempat dia bekerja telah dikejar oleh sekumpulan pemuda. Andy telah menyelamatkan Jun daripada kejadian tersebut. Sejak itu, hubungan mereka mula rapat.


Baca juga Sinopsis Episod Drama SAGA (Episodic)

BARISAN PELAKON DRAMA ‘SAGA’

Aaron Aziz sebagai Andy
Nick Mikhail sebagai Din Cobra
Jeff Catz sebagai Ryan
Nadiah M.Din sebagai Jun
Syarif sebagai Rudy
Shahrin Azhar sebagai Dino
Imam Shah sebagai Zack
Hamidah Salim sebagai Mak Leha
Allahyarham J A Halim sebagai Bapa Andy

TRIVIA MENARIK DRAMA ‘SAGA’

1. Drama ‘SAGA’ musim pertama diterbitkan pada sekitar tahun 2015 dan telah disiarkan di negara asal, Singapura. Pada tahun 2020, kesinambungan kisah tersebut dibawakan kembali dengan penceritaan serba baharu menerusi drama ‘SAGA 2.0’.

2. Ini adalah kali pertama drama ‘SAGA’ ditayangkan di platform Astro. Manakala drama ‘SAGA 2.0’ pula bakal ditayangkan sejurus selepas tamat musim pertama untuk mengisi slot yang sama. Butiran terperinci mengenai musim kedua akan diumumkan kemudian.


3. Keseluruhan drama ‘SAGA’ musim pertama telah mengambil masa dua bulan untuk diselesaikan. Manakala lokasi penggambaran pula telah dijalankan di sekitar Singapura. Sepanjang penggambaran dijalankan, pihak produksi turut memastikan anggota perubatan diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di setiap set lokasi untuk tujuan keselamatan.

4. Bagi mencantikkan lagi visual sewaktu pembikinan drama tersebut, sebuah gelanggang arena perlawanan MMA turut dibina khas di studio MediaCorp. Ini bagi memastikan proses penggambaran adalah terkawal sepanjang masa kerana terdapat babak yang turut membawa masuk perkhidmatan atlet MMA profesional untuk babak aksi lasak. Bagi peminat sukan tempur seni bela campuran MMA, terdapat banyak perkara yang dapat dipelajari menerusi drama ini khususnya tentang teknik dan pergerakan yang betul.


5. Lagu runut bunyi drama ‘SAGA’ berjudul ‘Jiwa Juara’ nyanyian Iskandar Ismail turut diangkat menerusi Kategori Lagu Terbaik dalam Pesta Perdana 2017 anjuran Mediacorp Suria. Lagu tersebut merupakan ciptaan Reyza Hamizan dan lirik yang ditulis sendiri oleh beliau.

‘SAGA’ bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 11 Ogos 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post