Netizen Tentukan Plot Twist Drama ‘MIS TRES HERMANAS’ Versi Malaysia - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal Netizen Tentukan Plot Twist Drama ‘MIS TRES HERMANAS’ Versi Malaysia

Trending

Netizen Tentukan Plot Twist Drama ‘MIS TRES HERMANAS’ Versi Malaysia

Netizen Tentukan Plot Twist Drama ‘MIS TRES HERMANAS’ Versi Malaysia | Taruhan berani Astro Prima perkenal format interaktif ‘open-ended’ bakal buka dimensi baharu dalam industri kandungan drama tanah air. Drama bersiri ‘Hati Yang Dikhianati’ terbitan Astro Prima dan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. merupakan sebuah lagi naskhah adaptasi melayu daripada telenovela popular Venezuela, ‘My Three Sisters’ atau lebih dikenali dengan judul asal dalam Bahasa Sepanyol iaitu ‘Mis Tres Hermanas’. Kisah melodrama yang diterajui oleh Ricardo Alamo, Scarlet Ortiz dan Roberto Moll pada ketika itu pernah mencetuskan fenomena luar biasa ketika siri tersebut ditayangkan di Malaysia sekitar tahun 2000.


Karya ‘Mis Tres Hermanas’ versi Malaysia ini diarahkan oleh sutradara Riza Baharuddin serta turut menampilkan barisan penulis skrip yang diketuai oleh Eenaz Mokhtar. Antara barisan pelakon yang membintangi drama bersiri ini termasuklah Isyariana, Amar Baharin, Mona Allen, Zamarul Hisham, Syamim Farid, Afifah Nasir, Ary Nalieya, Shah Iskandar, Mia Nasir, Fazlina Ahmad Daud, Sahronizam serta ramai lagi.


Tampil dengan format berbeza berbanding sebarang karya adaptasi yang pernah diterbitkan sebelum ini di platform Astro, menerusi drama ini buat julung kalinya struktur naratif penceritaan dan pembinaan watak naskhah ini bakal ditentukan berdasarkan konsep model interaktif terbuka atau ‘open-ended’ yang dipengaruhi oleh maklum balas audiens dan rekod jumlah tontonan dari semasa ke semasa. Jumlah keseluruhan episod untuk drama adaptasi ini juga turut bergantung kepada penerimaan penonton.


BARISAN PELAKON DRAMA ‘HATI YANG DIKHIANATI’

Isyariana sebagai LISA
Amar Baharin sebagai ZUHRI ELYAS
Mona Allen sebagai MARIA
Zamarul Hisham sebagai ISKANDAR
Syamim Farid sebagai ATHIRA
Afifah Nasir sebagai BELL
Ary Nalieya sebagai MAWAR
Shah Iskandar sebagai IMRAN
Mia Nasir sebagai SYAZ
Fazlina Ahmad Daud sebagai MOMMY/ DATIN SOFIA
Sahronizam sebagai DATO’ GHAFAR



SINOPSIS DRAMA ‘HATI YANG DIKHIANATI’

Setelah pemergian bapanya, Iskandar mengambil keputusan untuk berhenti persekolahannya dan terus bekerja demi membesarkan tiga adik perempuannya. 15 tahun berlalu selepas peninggalan ibu bapanya, Iskandar kini berkahwin dengan Maria dan tinggal bersama adiknya ketiganya, Lisa yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital komuniti serta adik bongsunya, Baby yang masih belajar.


Segalanya berubah apabila Lisa menyerang tapak pembinaan di sebelah hospitalnya dan berdepan dengan Zuhri Elyas yang merupakan ketua projek pembinaan tersebut. Pertemuan mereka secara perlahan membuahkan rasa kasih namun tanpa pengetahuan Lisa, Zuhri sebenarnya sudahpun bertunang. Dalam masa yang sama dia juga berselingkuh dengan Maria, kakak ipar kepada Lisa sendiri. Maria pula semakin tertekan ditambah dengan kehadiran adik iparnya Syaz dan suaminya Imran yang terpaksa berpindah ke rumah Iskandar kerana kehilangan kerja. Perlahan-lahan perjalanan cinta Lisa dan Zuhri ditempuh ranjau.

MIS TRES HERMANAS Venezuela
Mis Tres Hermanas merupakan sebuah telenovela dari Venezuela yang ditulis oleh Perla Farías dan diterbitkan oleh RCTV pada tahun 2000.

Scarlet Ortiz (sebagai Lisa Estrada Morandi)dan Ricardo Alamo membintangi sebagai protagonis utama dengan Roxana Diaz sebagai antagonis utama selain Carlos Cruz, Dad Dager dan Chantal Baudaux membintangi sebagai protagonis bersama. Augusto (Carlos Cruz) dan tiga adik perempuannya bernama Silvia "La Generala", Lisa "La Perfecta" dan Beatriz "La Beba".

TRIVIA MENARIK DRAMA ‘HATI YANG DIKHIANATI’

1. Audiens boleh mula menghantarkan sebarang idea, cadangan atau maklum balas untuk drama ‘Hati Yang Dikhianati’selepas dua minggu drama ini mula ditayangkan iaitu pada 23 April 2021 di platform rasmi Gempak.


2. Perubahan naratif penceritaan dan plot twist serta pembinaan watak berdasarkan maklum balas audiens dan jumlah tontonan semasa akan mula disuntik pada episod 40 dan seterusnya.

3. Amar Baharin yang memegang watak sebagai ‘Zuhri Elyas’ atau ‘Santiago’ dalam naskhah asal mengambil keputusan untuk berpindah ke Perlis buat sementara waktu bersama keluarganya yang tercinta bagi memberikan sepenuh komitmen untuk menjayakan penggambaran drama ini.


4. Sebelum ini, Amar Baharin juga pernah memegang watak utama dalam beberapa buah drama di slot Tiara, Astro Prima. Antara drama-drama yang pernah dijayakan termasuklah ‘Jodoh-Jodoh Annisa’ dan ‘Akadku Terakhir’.



5. Semasa naskhah asal ‘Mis Tres Hermanas’ disiarkan buat pertama kali di Malaysia sekitar tahun 2002, Amar Baharin masih lagi di bangku sekolah menengah.

6. Pelakon berbakat kelahiran program realiti Akademi Fantasia, Isyariana yang memegang watak utama sebagai ‘Lisa’ turut berpadu suara dengan penyanyi baharu Dean Eiman bagi menjayakan lagu runut bunyi untuk drama ‘Hati Yang Dikhianati’. Lagu yang sama dalam versi asal berjudul ‘Purest of Pain’ atau dalam Bahasa Sepanyol ‘A Puro Dolor’ telah dinyanyikan oleh Son By Four.


7. Penggambaran drama ‘Hati Yang Dikhianati’masih berjalan dan sehingga kini sudahpun mengambil masa lebih kurang 90 hari. Antara lokasi penggambaran yang terlibat termasuklah di sekitar Lembah Klang, Melaka dan Perlis.


8. Selain itu, pihak produksi juga mengambil keputusan untuk mengubah lokasi penggambaran ke Perlis dan bergegas ke sana dalam masa 24 jam untuk mengelakkan sebarang kesulitan di lokasi. Ketika itu, lokasi asal di sekitar Kuala Lumpur telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP) pada awal tahun yang lalu.


9. Aspek keselamatan merupakan antara cabaran terbesar yang harus ditempuhi sepanjang pembikinan drama ini kerana terdapat banyak babak yang melibatkan kawasan pembinaan.

Drama ‘Hati Yang Dikhianati’ bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 12 April 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post