Kacang Buncis Tumis Daging Kisar

Anda semua suka makan sayur tak? Kalau Kak Bell, setiap kali makan mesti kena ada satu jenis sayur sebagai pelengkap hidangan. Ada juga sesetengah orang tidak sukakan sayur. Ada yang kena asingkan dahulu sayur sebelum makan atau memesan hidangan tanpa sayur! Sebenarnya kena amalkan mengambil sayuran untuk tubuh badan kita kerana ada beberapa jenis nutrisi yang diperlukan badan hanya boleh didapati daripada sayuran. Jadi mesti kena banyak makan sayuran dan juga buah-buahan.


Kali ini Kak Bell kongsikan resepi masakan sayur menggunakan kacang buncis. Jika dibandingkan kacang buncis dan kacang panjang, Kak Bell lebih menggemari kacang buncis kerana lebih enak dan manis selain cepat masak. Resepi kali ini Kak Bell sediakan Kacang Buncis Tumis Daging Kisar.


Terdapat banyak cara masakan kacang buncis. Kacang buncis boleh digandingkan dengan isi ayam mahupun daging, sayur campur yang lain dan sebagainya. Untuk resepi ini, Kak Bell gunakan daging kisar dan juga sedikit hati ayam. Kalau tak nak gunakan kacang buncis, boleh sahaja gunakan kacang panjang. Cara memotong terpulang samada potong serong atau potong sesuka hati!

Bahan A
1 paket kacang buncis
1/2 belah lada benggala merah
3 sudu daging kisar
Sedikit hati ayam
1 sudu sos tiram
Garam
Air
Minyak

Bahan B (bahan hiris)
2 ulas bawang kecil*cincang halus
3 ulas bawang putih

Cara memasak:

1) Tumis bahan B sampai wangi.


2) Masukkan daging kisar dan kacau hingga daging berubah warna dan masak.




3) Masukkan pula hati dan limpa ayam dan kacau lagi hingga semua bahan masak.


4) Tambahkan sos tiram dan lada benggala dan kacau rata.


5) Masukkan kacang buncis, tambahkan sedikit air dan aduk rata.


6) Perasakan dengan garam dan perasa (jika suka) dan kacau sampai sayur masak.

TIPS!


  • Boleh gantikan daging kisar dengan isi ayam
  • Jika tidak gunakan kacang buncis, boleh gunakan kacang panjang
  • Boleh disesuaikan dengan telur dan sayuran lain


Mudah sahaja resepi dan cara memasak kacang buncis tumis daging. Apa yang penting, setiap kali makan mesti ada satu bahagian sayur. Jika tak suka sangat nak makan sayur, ambillah suplemen tambahan untuk keperluan tubuh. Jadi sayur apakah yang menjadi kegemaran anda? Oklah, selamat mencuba.

CONVERSATION

0 comments:

Post a comment

Back
to top