Set Gamelan Berusia 200 Tahun Dimainkan Dalam Single Terbaru Loque - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal Set Gamelan Berusia 200 Tahun Dimainkan Dalam Single Terbaru Loque

Trending

Set Gamelan Berusia 200 Tahun Dimainkan Dalam Single Terbaru Loque

MonoloQue, kumpulan muzik rock yang membawa genre nusantara baru sahaja melancarkan single terbaru bersempena dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16. Single baru ini turut menampilkan Aizat Amdan diiringi video muzik  mereka yang berjudul Urusan Seri Paduka Baginda (USPB)- Versi Agong.

Single ini merupakan single kedua, selepas single berjudul Chinta yang dikeluarkan tahun lepas bersama NJWA. Kedua-dua lagu ini akan dimuatkan bersama dalam album  “Lagu Perang ( Bunyian Gamelan Melayu di abad ke 21) yang bakal disajikan akhir tahun ini. 


Permulaan lagu ini bermula kira-kira 15 tahun lalu selepas Dato’ Ahmad Farid Abdul Jalal, Pengarah Perbadanan Muzium Pahang mendengar lagu bersama gamelan dalam album Selamat Tinggal Dunia oleh Butterfingers. Disebabkan amat tertarik dengan penggunaan gamelan bercampur dengan muzik moden, Dato’ Farid telah menghubungi loQue untuk berkerjasama. Pemilihan Aizat Amdan falam kerjasama ini adalah sebagai taruhan untuk membawa lagu ini ke pentas yang lebih umum. Video muzik lagu ciptaan loQue dan lirik sumbangan Dato’ Farid ini menampilkan juga Orkes Gamelan Pahang Diraja dan penari Gamelan dari Kumpulan Kesenian Pejabat SUK Pahang. 


Lirik yang ditulis oleh Dato’ Farid ini dipena khas untuk Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong demi menggambarkan betapa pentingnya baginda dan institusi beraja ini kepada keamanan dan kesejahteraan negara. Untuk nilai-nilai astetika lagu Urusan Seri Paduka Baginda pula, gamelan telah dijadikan sebagai elemen yang paling dominan, membuatkannya bukan sahaja relevan malah watak atau motif penting dalam menjayakan lagu ini serta album gamelan "Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di abad ke 21)".

"Raja dan rakyat berpisah tiada. Berkat baginda memerintah secara adil dan bijaksana negara membangun dan gemilang"

Melodi gamelan lagu Ketawang yang dimainkan oleh Orkes Gamelan Pahang Diraja ini menggunakan set gamelan asal turun temurun yang pertama masuk ke Tanah Melayu sekitar 200 tahun lalu kini diadun sebati bersama muzik moden sekaligus memberi nafas ganjil tapi unik di samping ia memberi satu perasaan serta “kesegaran” yang sukar hendak digambarkan dengan perkataan.


Dengan kerjasama FINAS, Muzium Diraja dan Perbadanan Muzium Negeri Pahang terhasillah sebuah video muzik dibawah arahan LoQue. Berlatarkan Balairong Seri Muzium Diraja, ia sangat memberi impak dari segi visual. Perka tari Ker Yer Teng berhati-hati mengubahsuai tarian dengan memasukkan elemen kontemporari di dalam muzik video tersebut mengikut landasan Tari Gamelan Tradisional.

"Seni budaya yang asli dan lama dipelihara, evolusi seni yang baru jangan dikongkong," kata LoQue .

Selari dengan jiwa lagu ini di mana tradisi dan kemodenan hidup bersama tanpa segan silu bahkan maju bersama, sepertimana keadaan semasa sekarang. Itulah nu-santara. Dirgahayu Tuanku. Dirgahayu Bunyi Baru Malaysia.

Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post