Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal (2019)

Masih terngiang-ngiang di telinga Kak Bell runut lagu OST Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal, Buai Laju-Laju oleh Ernie Zakri. Best sangat lagu ni. Sebelum ni memang Kak Bell tak berapa layan kisah Upin & Ipin dan seumpamanya. Pada awalnya, memang Kak Bell tak mengharapkan impak yang besar dari filem ini, tetapi nyata prasangka itu meleset! TQ buat Rafzan Tomomi jemput Kak Bell untuk sama-sama menghadiri sesi tayangan perdana Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal di GSC Mid Valley pada 5 Mac 2019 yang lalu. Tayangan perdana tersebut turut dihadiri oleh YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia.


Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal ialah filem ketiga yang dihasilkan oleh Les' Copaque Production dan akan mula ditayangkan di pawagam-pawagam Malaysia pada 21 Mac 2019. Filem animasi 3 Dimensi (3D) terbaru Les Copaque ini mengambil masa 5 tahun untuk disiapkan dan menelan belanja hampir RM20 juta serta menggunakan sepenuhnya kepakaran anak tempatan. Filem animasi ini diarahkan oleh Ahmad Razuri Roseli, Adam Amiruddin, Syed Nurfaiz dan Khalid Syed Ibrahim serta disuarakan oleh pelakon suara watak asal iaitu Asyiela Putri, Ahmad Mawardi, Mohd Amir Asyraf dan Ernie Zakri. Ketiga-tiga pengarah muda tersebut sebelum ini berpengalaman menghasilkan siri animasi terbitan Les’ Copaque iaitu siri Upin dan Ipin, Pada Zaman Dahulu dan Puteri. Filem ini juga turut ditayangkan di Indonesia, Brunei dan Singapura serta pihak Les' Copaque masih menunggu berita baik untuk penayangan di negara Asia lain seperti Taiwan, China dan Vietnam.


Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mengisahkan tentang Upin, Ipin serta rakan-rakan mereka yang tersandung keris mistik di bilik stor Tok Dalang yang membuka portal dan membawa mereka ke kerajaan Inderaloka. Di Inderolaka ni, tinggalnya watak-watak dongeng rakyat popular seperti Mat Jenin, Ibu Tanggang, Bawang Merah, Bawang Putih, Raja Bersiong, Pak Belalang dan juga beberapa watak lagi. Semasa terjatuh di Inderaloka, Upin & Ipin terpisah kepada 2 kumpulan dan bermulalah pengembaraan mereka untuk pulang semula ke Kampung Durian Runtuh dan secara tidak sengaja memulihkan kerajaan Inderaloka. Nama Keris Siamang Tunggal yang diadaptasi daripada sebuah keris Melayu yang mempunyai misteri kerana ianya tidak mempunyai bilah.


Jalan penceritaan filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal amat menarik kerana menampilkan watak-watak dongeng rakyat popular di Malaysia dalam satu jalan cerita yang sama berlatarkan suasana Pelabuhan Megah mirip kerajaan zaman Empayar Melaka. Selain daripada watak yang Kak Bell nyatakan tadi, turut diselitkan kisah rakyat seperti Singapura Dilanggar Todak dan Batu Belah Batu Bertangkup yang Kak Bell kira memang sangat berbeza dan ngam dengan penceritaan dalam filem ni. Kerajaan Inderaloka digambarkan dengan cantik sekali melalui penghasilan animasi watak haiwan dan tumbuhan yang magikal yang sangat hidup dari segi warna dan pergerakan animasi. Memang Kak Bell tak jangka!


Filem ni memang sangat menghiburkan dan tak kurang juga berjaya menyentuh perasaan pada beberapa babak. Karektor Mat Jenin masih dengan angan-angannya, watak Pak Belalang dan Belalang dengan kopi bontot periuk memang mengembalikan nostalgia filem-filem lama dan kisah rakyat tersebut. 


Filem ini menyampaikan mesej yang jelas tentang hati dan kemaafan. Kak Bell tersentuh dengan babak Ibu Tanggang dan Tanggang yang disumpah menjadi batu. Ibu Tanggang yang selalu termenung memandang laut, memandang batu anaknya Si Tanggang. Sangat tersentuh bila Ibu Tanggang menyatakan yang dia dah lama maafkan Tanggang tetapi mulutnya berat untuk katakan perkataan maaf. Bila dinyatakan kekesalannya menyumpah Tanggang dan akui kesilapannya, air mata Tanggang yang disumpah menitis dan akhirnya tenggelam ke dasar laut setelah mendapat kemaafan ibunya. Kesemua babak-babak sedih dan titisan air mata watak dalam cerita ni, ada kaitan dengan Keris Siamang Tunggal yang tidak berbilah. Yang ni korang tengok sendiri nanti ye.


Untuk watak jahat filem ni ialah Raja Bersiong yang telah merampas takhta kerajaan Inderaloka. Semasa awal filem ada pergelutan di antara Raja Bersiong dan Raja Inderaloka. Raja Inderaloka yang tewas semasa sedang mengasapkan keris telah bersumpah keris Siamang Tunggal akan datang kembali dengan waris yang hak untuk mengmbil semula takhta kerajaan Inderaloka. Menarikknya keris ini hanya boleh dipegang dan diangkat oleh warisnya yang sah. Dalam filem ni hanya Upin, Ipin, Mat Jenin dan Nakhoda Ragam sahaja yang dapat mengangkat bilah keris Siamang Tunggal. Siapa agaknya waris kerajaan sah Inderaloka? Yang ni korang kena tengok sendiri juga kay!


Filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal menampilkan 2 buah lagu OST yang dinyanyikan oleh penyanyi bersuara lunak Ernie Zakri dan Fakrul Razi. Ernie Zakri membawakan lagu yang bertajuk “Buai Laju-Laju” dan juga menjadi pelakon suara bagi watak Bawang Merah dan Bawang Putih di dalam filem ini. Lagu ke-2 pula bertajuk “Keris Sakti” yang dibawakan oleh penyanyi dari Brunei, Fakrul Razi. Sekali dengar memang ingatkan Mawi yang nyanyi. Kak Bell memang suka sangat dengan nyanyian Ernie Zakri. Memang sangat padan dan best!


Walaupun filem ni taklah sehebat cerita animasi orang puteh seperti Frozen dan lain-lain, ianya merupakan satu usaha yang sangat baik yang telah dibuat oleh pihak produksi dan Kak Bell bangga dan tidak malu dengan karya anak tempatan ini. Filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal boleh menjadi penanda aras kepada penggiat seni tempatan yang lain dalam menghasilkan sebuah filem animasi lebih bermutu dan berperingkat global.

Bersama Sis Lin dan Rafzan Tomomi

Kak Bell memang rekomen korang pergi menonton filem terbaru Les' Copaque ni. Memang tak rugi dan tidak mengecewakan. Di akhir filem, ada kredit scene untuk filem seterusnya Puteri. Tak sabar tunggu animasi Puteri pula. Untuk filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, Kak Bell bagi 8/10 bintang!


CONVERSATION

2 comments:

  1. tak sabar kita nak gi tengok kat pawagam bawak anak²..sure diorang suka kan

    ReplyDelete

Back
to top