Tiger Stripes (Tunjuk Belang) Mengaum Di Cannes Critics’ Week 2023 - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal Tiger Stripes (Tunjuk Belang) Mengaum Di Cannes Critics’ Week 2023

Trending

Tiger Stripes (Tunjuk Belang) Mengaum Di Cannes Critics’ Week 2023

Filem cereka sulung Ghost Grrrl Pictures berjudul TIGER STRIPES (Tunjuk Belang), arahan Amanda Nell Eu bersama penerbit Foo Fei Ling, telah dipilih secara rasmi untuk Minggu Pengkritik Cannes (Cannes Critics’ Week) yang merupakan salah satu acara berprestij di Festival Filem Cannes 2023. Ini adalah filem yang pertama terpilih mewakili Malaysia di Cannes sejak tahun 2010, menampilkan Amanda Nell Eu pembikin filem wanita yang pertama membawa nama Malaysia ke pentas Cannes.

Tiger Stripes (Tunjuk Belang) Mengaum Di Cannes Critics’ Week 2023

Minggu Pengkritik Cannes yang telah mencapai edisi ke-62 memberi tumpuan khusus kepada filem cereka pertama atau kedua dari pengarah baru. Pengarah tersohor seperti Alejandro González Iñárritu, Guillermo Del Toro, Wong Kar Wai, adalah antara pengarah yang telah menempah nama di Minggu Pengkritik Cannes. Hanya ada tiga filem Malaysia yang terpilih untuk Cannes sebelum ini dan penyertaan rasmi Tiger Stripes ke acara berprestij ini adalah pencapaian penting untuk pembangunan industri filem tempatan.


Tiger Stripes merupakan sebuah filem seram berbahasa Melayu, yang juga akan dipertandingkan untuk kategori anugerah Caméra d’Or, kategori yang hanya dianugerahkan kepada pengarah muda dengan karya pertama atau kedua oleh Festival Filem Cannes. Filem Tiger Stripes bakal mengangkat bakat Amanda Nell Eu sebagai seorang pembikin filem wanita yang sedang meningkat naik dalam industri perfileman tempatan.

Tiger Stripes mengikuti perjalanan seorang gadis berusia 12 tahun, Zaffan, mengalami kesulitan menghadapi akil baligh dan bergelut dengan perubahan fizikal yang mengerikan. Apabila semakin diprovokasi oleh rakan dan keluarga akan perubahannya, Zaffan memilih untuk membebaskan diri dengan merangkul jati dirinya. Filem ini bakal mengenengahkan tiga bakat baharu iaitu, Zafreen Zairizal, Deena Ezral, dan Piqa, bersama pelakon veteran Shaheizy Sam (“Polis Evo 3, 2023”), Jun Lojong (“Roh, 2019”), dan Fatimah Abu Bakar (“Imaginur”, 2022”).


Tiger Stripes merupakan hasil terbitan bersama daripada lapan negara iaitu; Malaysia, Indonesia, Singapura, Taiwan, Perancis, Jerman, Belanda dan Qatar. Filem ini telah menerima Geran Pemulihan Industri Kreatif (PENJANA) daripada Kementerian Komunikasi dan Digital untuk penerbitannya di Malaysia, menyerlahkan lagi kepentingan Tiger Stripes untuk industri tempatan.

Filem ini disokong oleh Taiwan Creative Content Agency, Southeast Asia Co-production Grant of Singapore’s Infocomm Media Development Authority, Cinémas du Monde fund of the National Centre for Cinema and the Moving Image of France; Nederlands Filmfonds; Hubert Bals Fund dan HBF+Europe Programme of the International Film Festival Rotterdam; Film und Medien Stiftung NRW; Vision Sud Est of Swiss Agency for Development & Cooperation; Berlinale World Cinema Fund; Doha Film Institute dan Next Masters Support Program daripada Talents Tokyo dan Filmex.


Edisi ke-62 Minggu Pengkritik Cannes akan berlangsung dari 17 hingga 25 Mei 2023, dan penonton di Malaysia boleh menantikan untuk menonton Tiger Stripes di pawagam tempatan dalam masa terdekat. Pemilihan rasmi TIGER STRIPES ini adalah merupakan batu aras penting dalam membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa dan menjadi penyumbang kepada pembangunan industri perfileman Malaysia dengan ciptaan sejarah menjadi pembikin filem wanita pertama dijemput ke Cannes.

Amanda Nell Eu (Pengarah)


Amanda Nell Eu (Pengarah)
Amanda merupakan lulusan London Film School dengan MA dalam Pembuatan Filem dan merupakan alumni Berlinale Talents dan Locarno Filmmakers Academy. Filem pendeknya Lagi Senang Jaga Sekandang Lembu ditayangkan perdana dalam pertandingan di Festival Filem Antarabangsa Venice. Filem ini terus mengembara dan memenangi anugerah dalam banyak festival antarabangsa lain, termasuk Sebutan Khas di Festival Filem Pendek Antarabangsa Clermont-Ferrand. Filem pendek beliau yang seterusnya Vinegar Baths juga telah memenangi beberapa anugerah dalam festival, termasuk Pertandingan Gambar Terbaik di Scream Asia Horror Shorts. Tiger Stripes ialah filem cereka sulungnya.

Filmography
2023 – Tiger Stripes | Feature 95’
2018 – Vinegar Baths | Short 14’
2017 – Lagi Senang Jaga Sekandang Lembu (It’s Easier to Raise Cattle) | Short 18’.

Syarikat Produksi Ghost Grrrl Pictures (Malaysia)
Ditubuhkan oleh Amanda Nell Eu dan Foo Fei Ling di Malaysia, Ghost Grrrl Pictures adalah sebuah syarikat filem tempatan yang mengangkat filem berkisar tentang perempuan dari rantau Asia Tenggara. Tidak kisah watak raksasa menakutkan yang besar ataupun gadis kecil terpinggir, misi syarikat adalah merepresentasi watak wanita kuat, ditakuti dan disalahpahami dalam sinema.

Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post