Konsert Freedom Festival Di Hangar Kapal Terbang Sungai Besi?

Freedom Festival merupakan sebuah perhimpunan untuk semua rakyat Malaysia bagi memupuk pepaduan dan keharmonian yang kita nikmati sebagai sebuah negara. Freedom Festival juga merupakan platform untuk persembahan muzik, pilihan makanan yang menarik dan pelbagai aktiviti yang menarik perhatian ramai.


Penaung bagi acara ini adalah Dato Seri Wan Azizah binti Wan Ismail manakala Pertubuhan Prihatin Harapan Insan merupakan NGO rasmi bagi Freedom Festival. Bakal berlangsung pada 3 November depan bersamaan hari Sabtu. Freedom Festival yang dianjurkan oleh syarikat pengurusan acara Bsynclive Sdn. Bhd., merupakan platform muzik dengan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga. Festival ini akan diadakan di Bandar Malaysia, Sungai Besi, Kuala Lumpur bermula pukul 10 pagi hingga tengah malam.


Pihak  penganjur, BSYNCLIVE yang diwakili Adam Sofian dan Shamil Yusof menyatakan bahawa  penganjuran acara berkenaan diadakan bagi menghimpunkan semua peringkat masyarakat berbilang kaum sekali gus memupuk perpaduan untuk semua pengunjung. Adam menambah bahawa penganjuran festival sepanjang hari itu akan diselitkan dengan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung antaranya pembukaan gerai makanan, pameran seni dan karya grafiti, pameran pesawat udara dan persembahan artis.


“Kami sentiasa percaya rakyat Malaysia ada kebebasan untuk meraikan perpaduan tidak kira dalam apa jua bentuk sekali pun. Menerusi penganjuran Freedom Festival ini, kami sangat berharap agar pengunjung yang datang dapat menikmati acara yang disediakan tidak kira muzik, makanan, gerai jualan dan pameran. Sekali gus dapat merasai nikmatnya perpaduan antara semua bangsa" kata Adam Sofian.

Freedom Festival tidak mengenakan sebarang bayaran berikutan pihak penganjur mahu pengunjung hadir dan menikmati acara yang disediakan dengan bebas. Mereka meletakkan sasaran kehadiran seramai 50,000 pengunjung pada hari tersebut. Bagi acara muzik, Freedom Festival membariskan nama-nama artis popular yang akan membuat persembahan pada hari itu bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk hadir memeriahkan suasana. Antaranya Hujan, Kugiran Masdo, Datuk Zainal Abidin, Bittersweet, Reshmonu, Aman RA, Salam Musik, Plague of Happiness, DJ Blink, Pesawat, Mafidz dan Ryot Jones.


Menurut Shamil Yusof, pemilihan Bandar Malaysia sebagai lokasi acara dibuat kerana tempatnya yang unik dan mempunyai tarikan tersendiri. Hal ini kerana, ia merupakan lapangan terbang pertama dibina di negara ini dan merupakan lokasi ikonik bagi rakyat Malaysia sendiri. Bandar Malaysia mempunyai nilai sentimental buat rakyat Malaysia sebab di sini terdapatnya kapal terbang tertua negara iaitu Rajawali yang mempunyai sejarah besar untuk negara. Ia juga akan dibuka kepada pengunjung pada hari itu. Pelbagai kemudahan mesra acara juga turut disediakan bagi memudahkan perjalanan festival berlangsung sepanjang hari.

Kumpulan terkenal Hujan yang bakal membuat persembahan pada hari itu juga menyifatkan himpunan pemuzik lama dan baharu di atas pentas sama juga menepati objektif penganjuran festival. Bagi pengunjung yang hadir pada hari tersebut, penganjur ada menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik dari Pasar Seni ke lokasi festival selain khidmat pengangkutan Grab. Sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan Freedom Festival, anda boleh layari laman www.freedomfestivalmalaysia.com.

CONVERSATION

4 comments:

Back
to top