Senarai Tempat Menarik Di Hulu Langat Untuk Dilawati, Jom Lihat Itinerary Ke Hulu Langat

Hulu Langat merupakan daerah yang paling sesuai digambarkan oleh ungkapan “kampung di tengah bandar besar”. Ia disebabkan suasana tradisi dan keindahan kampung yang tetap wujud di daerah ini walaupun dikelilingi dengan pembangunan yang pesat. Daerah Hulu Langat merupakan daerah kelima terbesar dalam Negeri Selangor. 


Ianya kaya dengan keindahan alam semulajadi serta keunikan elemen tradisi dan kebudayaan. Jadual di bawah disertakan bagi mengisi perjalanan seharian anda di daerah Hulu Langat dengan cadangan ke lokasi-lokasi menarik yang patut anda kunjungi selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelak!


Jom Lihat Itinerary Satu Hari Jika Melawat Ke Hulu Langat


8:00 pagi – Sarapan pagi di Lontong King
9:00 pagi – ATV Ride di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation
10:00 pagi – Aktiviti berkayak di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation
11:00 pagi – Perang tempur Paintball di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation
12:00 tengahari – Makan tengahari di Itik Salai Masthar
1:00 petang – Aktiviti lasak di Skytrex Sg Chongkak
3:30 petang – Minum petang di D’Pallet Place
4:30 petang – Singgah ke Ostrich Wonderland Semenyih
5:30 petang – Aktiviti pendakian di Bukit Broga
7:00 malam – Makan malam di Sate Kajang Hj. Samuri



1) Sarapan pagi di Lontong King

Nikmati pagi hari anda dengan sarapan di salah sebuah kedai makan yang terkenal di Daerah Hulu Langat iaitu Lontong King. Terletak di Taman Sri Nanding, kedai makan ini sering dikunjungi oleh penduduk tempatan di kawasan ini. Pilihan makanan yang terhidang bak hidangan bufet di hotel oleh kerana pilihan menu yang pelbagai di sini.

Lontong King by wizmanoi

Menu utama di kedai makan ini semestinya menu lontong, dengan pelbagai pilihan lontong seperti Lontong Special, Lontong Biasa dan Lontong Goreng. Selain itu, menu masakan barat turut tersedia sebagai hidangan sarapan buat pengunjung di sini.

2) ATV Ride di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation

Peminat aktiviti lasak yang sukakan pengalaman merentas hutan boleh mencuba
menunggang kenderaan jenis All-Terrain Vehicle (ATV) di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation. Ia menawarkan trek mini dan trek hutan dan sungai mengikut pilihan anda. 

ATV Ride by Semenyih EcoVenture Resort & Recreation

Anda boleh menikmati perjalanan sejauh 6 kilometer ke dalam kawasan hutan dan anda akan berpeluang untuk melihat air terjun yang sangat indah di kawasan trek tersebut.


3) Aktiviti berkayak di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation

Seterusnya, pasti anda tidak mahu ketinggalan untuk melakukan aktiviti berkayak di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation dengan menaiki “hunter’s boat” menyelusuri arus sungai dengan pemandangan alam semulajadi yang menakjubkan. 

Kayaking by Semenyih EcoVenture Resort & Recreation

Aktiviti berkayak pasti memberi keterujaan buat anda dan rakan-rakan anda. Anda akan diberikan jaket keselamatan terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti ini, jadi tiada apa yang anda perlu bimbangkan!

4) Perang tempur Paintball di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation

Aktiviti Paintball merupakan aktiviti permainan yang menyeronokkan dimana anda akan menggunakan “marker” untuk menembak “pallet” iaitu kapsul gelatin yang dipenuhi dengan cat warna bagi mengenakan pemain yang lain. 

Paintball at Semenyih Eco Venture Resort & Recreation

Permainan ini tidak mempunyai peraturan namun terpulang kepada strategi taktikal dan gerak tempur anda sendiri. Pastikan anda menikmati aktiviti yang mengujakan ini bersama rakan-rakan anda di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation.


5) Makan tengah hari di Itik Salai Masthar

Sekiranya anda adalah seseorang yang meminati masakan salai, pastikan anda singgah ke Itik Salai Masthar untuk menikmati pelbagai menu masakan popular mereka dan salah satunya ialah hidangan Itik Salai. Ianya adalah menu wajib yang anda harus cuba di sini dengan pelbagai jenis masakan salai yang bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk setempat bahkan dari pengunjung luar.

Itik Salai Masthar by @my.foodtravelogue

Selain itu, hidangan gulai masak lemak juga merupakan menu terhangat di sini kerana rasa cili apinya yang meresap ke dalam daging itik yang lembut diiringi bersama beraneka jenis ulam-ulaman.

6) Aktiviti lasak di Skytrex Sg. Chongkak

Skytrex Sg. Chongkak menawarkan lebih banyak elemen flying fox dan merupakan rintangan yang terpanjang di Malaysia. Dengan panjang sebanyak 110 meter, ianya lebih mencabar dan menggerunkan untuk anda “terbang” di udara. Keseronokan tersebut turut diiringi dengan ketenangan alam semulajadi yang menghijau di sekitar. 

Skytrex Advanture Sg. Chongkak by Hans Hanis

Skytrex Sg Chongkak menawarkan 3 jenis pakej yang anda boleh cuba antaranya adalah River Thrill, Rapid Extreme dan Double Dare dan setiap pakej ini mempunyai 25 halangan yang berbeza. Jadi, anda boleh pilih pakej mana yang sesuai dengan kebranian anda!


7) Minum petang di D’Pallet Place

Lokasi yang sesuai disinggah untuk menikmati minum petang di samping menikmati hidangan ringan ini terletak di Batu 9, Cheras. D’Pallet Place mempunyai banyak gerai dan menawarkan pelbagai jenis menu makanan yang menepati citarasa pelanggan. Antara menu yang terkenal di tempat ini ialah Ayam Bakar, Sotong Gunting, Cendol, Sup Gearbox, Ketam Bercili dan banyak lagi!

D'Pallet Place by Eydaiah E

8) Singgah ke Ostrich Wonderland Semenyih

Terletak kira-kira 15 minit perjalan dari Pekan Semenyih, tempat ini sangat sesuai untuk lawatan seisi keluarga. Mula beroperasi sejak tahun 2000, pengunjung dapat melihat sendiri spesis burung unta dan mengetahui perkembangan kumpulan burung ini yang berlainan umur dan saiz dalam kandang yang berbeza. Bukan itu sahaja, Ostrich Wonderland Semenyih juga menempatkan haiwan ternakan lain seperti ayam dan burung merak.


Rasai pengalaman baru dengan memberi makanan kepada burung unta di sini atau menunggangnya jika anda berani. Pastinya aktiviti yang menarik ini harus anda cuba sekiranya berkunjung ke Daerah Hulu Langat!


9) Melihat keindahan Bukit Broga

Perjalanan ke Daerah Hulu Langat tidak sah sekiranya anda tidak singgah untuk
menyaksikan keindahan Bukit Broga. Hanya mengambil lebih kurang 15 minit perjalanan dari Pekan Semenyih, Bukit Broga menjadi lokasi tumpuan para pendaki selain menjadi kawasan riadah untuk seisi keluarga. 

Broga Hill by hellowws

Pemandangan di atas puncaknya amat mengujakan dan perjalanan pendakian ke puncak diiringi persekitaran alam semulajadi yang menenangkan minda. Jadi, jangan ketinggalan untuk mencuba menawan puncak Bukit Broga ini!

10) Makan malam di Sate Kajang Hj. Samuri

Jangan lupa untuk menikmati hidangan istimewa turun-temurun di Daerah Hulu Langat iaitu Sate Kajang yang terkenal di seluruh negara. Menikmati hidangan tradisi ini adalah cara terbaik untuk menamatkan perjalanan seharian anda di Daerah Hulu Langat. Singgahlah ke Sate Kajang Hj. Samuri yang mana popularitinya memang tidak boleh disangkal lagi. Satenya sangat enak apabila dimakan bersama kuah kacang dan nasi impit.

Sate Kajang Hj. Samuri by haffiz.ibr

Terdapat pelbagai jenis sate ditawarkan di sini, antaranya Sate Ayam, Sate Daging, Sate Perut, Sate Kambing dan banyak lagi! Setiap hidangan yang disajikan amatlah enak dan harus anda cuba sebelum pulang!

Jadikan perjalanan seharian anda ke Daerah Hulu Langat sebagai suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan jadual perjalanan serta pilihan lokasi yang tertera di atas. Rebut peluang ini untuk menjelajahi Daerah indah yang memukau dari kehijaujan alam semulajadi mahu pun beraneka jenis hidangan yang ditawarkan di sini. Luangkan masa bersama yang tersayang ke Daerah Hulu Langat selepas tamat tempoh PKP kelak dan rancang perjalanan anda sekarang; #ImagineNowExperienceSoon!


Jangan lupa, tanggungjawab kita semua untuk sentiasa mematuhi garis panduan atau SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara, menjaga jarak sosial, memakai pelitup muka, serta mendaftar masuk ke premis-premis di Negeri Selangor dengan menggunakan aplikasi SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat.

Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment

Back
to top