10 Artis Mendahului Undian Terkumpul ABPBH 33 - Ini Adalah Bellarina Natasya | Bella Jamal 10 Artis Mendahului Undian Terkumpul ABPBH 33

Trending

10 Artis Mendahului Undian Terkumpul ABPBH 33

Bertepatan dengan tema #ABPBHKITA2020, pengumuman Kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-33 yang diadakan secara virtual, menyaksikan pengemudian penganjuran kali ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya bagi mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19.


Malam kemuncak ABPBH 33 yang dibawakan oleh penaja utama Xiaomi Malaysia, akan disiarkan secara langsung di saluran Tonton, YouTube TV3 dan BH termasuk laman web ABPBH di www.abpbh.com.my, dan buat julung kalinya juga menerusi laman aplikasi TikTok dari Axiata Arena Bukit Jalil pada jam 9.00 malam, hari Jumaat, 13 November depan.

Sementara itu, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) yang menjadi penaja kereta rasmi ABPBH 33 akan menaja sebuah kereta Nissan LEAF Serba Baharu dengan kuasa elektrik 100% dan sifar emisi, berharga RM181,263 untuk Anugerah Bintang Paling Popular BH Ke-33. ETCM adalah anak syarikat milik penuh Tan Chong Motor Holdings Bhd dan pengedar rasmi kenderaan jenama Nissan di Malaysia.

10 Artis Dengan Undi Terkumpul Tertinggi

Sepuluh calon pelbagai kategori Anugerah Bintang Paling Popular BH (ABPBH) Ke-33 diumumkan mendahului undian sejak proses pencarian pemenang dilancarkan pada 7 Oktober lalu. Artis terbabit adalah Aiman Tino, Alif Satar, Nur Fazura, Haqiem Rusli, Haziq, Hun Haqeem, Khai Bahar, Sherry Alhadad, Siti Nordiana dan Zahiril Adzim.



Pengacara popular, penyanyi dan juga pelakon, Dato’ AC Mizal sekali lagi dijemput untuk mengacarakan Malam Kemuncak ABPBH pada tahun ini. Beliau akan digandingkan dengan pelakon hebat dan juga pengacara yang tidak asing lagi iaitu Nabila Huda atau lebih mesra dengan panggilan Abil.

Pengalaman dan kepakaran Dato’ AC dan Abil dalam mengemudi acara anugerah menjadi sandaran agar ABPBH 33 yang mendapat sokongan penaja utama, Xiaomi Malaysia mampu mencipta sejarah tersendiri dan sekali lagi trending dalam media sosial. 

Persembahan Artis Di Malam ABPBH 33

Barisan artis membuat persembahan turut membabitkan bintang yang layak bergelar lagenda, selain bakat baharu yang pantas mendaki tangga populariti. Pentas ABPBH 33 bakal dihangatkan dengan persembahan duet dan berkumpulan, melibatkan gandingan bersama Azlan Typewriter, Yonnyboii dan Zynakal; Faizal Tahir, Elly Mazlein, Syamel, Dolla dan Zizi Kirana; Ernie Zakri dan Hafiz Suip; Naim Daniel, Tuju dan Man Keedal; Aina Abdul, Indah Ruhaila, Tomok dan Lan Solo; pasangan adik-beradik Liza Aziz dan Azlina Aziz bersama Noki K-Clique.


Penyanyi baru, Yonnyboii turut muncul buat kali kedua berpasangan dengan Shalma Eliana mempersembahkan lagu tema Xiaomi Malaysia iaitu Xiaomi For Me!. Sedikit kelainan turut diperkenalkan di atas pentas ABPBH 33 di mana sebuah sketsa komedi yang dijayakan oleh Khir Rahman, Joey Daud, Man, Nora Danish, Kaka Azraff dan Liza Abdullah.

ABPBH 33 turut memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada anak seni melalui kategori khas, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat. Penerima anugerah ini bakal diumumkan pada malam kemuncak kelak.

Sementara itu, barisan penyampai trofi yang dipilih adalah dalam kalangan personaliti dan artis hebat yang memiliki reputasi tersendiri dalam setiap bidang diceburi. Mereka adalah Saiful Apek, Siti Nordiana, Shaheizy Sam, Zul Ariffin, Ramlah Ram, Wany Hasrita dan Dato’ Rosyam Nor.


Bagi segmen karpet merah pula, gandingan Sean Lee dan Sissy Imann pasti menghangatkan lagi liputan eksklusif dari lokasi acara berlangsung.

Malam kemuncak ABPBH 33 bakal menobatkan Bintang Paling Popular yang dipilih dalam kalangan calon Top 20 yang memperoleh undian tertinggi membabitkan 13 kategori. Tiga belas kategori itu adalah Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia, Penyanyi Wanita Popular Xiaomi Malaysia, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Artis Versatil Popular, Artis Komedi Popular, Pengacara TV Popular dan Penyampai Radio Popular.

Turut dipertandingkan adalah lima kategori ‘online’ iaitu Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Lagu Paling Boom Popular, Artis Kontroversi Popular dan FC #FANtastik Popular.

Undian ABPBH 33 masih lagi dibuka sehingga 8 November ini. Undian boleh dibuat menerusi laman web ABPBH di www.abpbh.com.my
Bella Jamal

Hi! Bella Jamal is a part-time blog writer of Ini Adalah Bellarina Natasya. A long time ago graduated from the National University of Malaysia with a degree in Bachelor of Chemistry, now working as a Social Media Professional for Telco company. For any opportunities, can contact me at jbella8868@gmail.com

Previous Post Next Post