Keenakan Sajian Indomie Di Indobowl

Sebagai negara jiran yang serumpun, Malaysia dan Indonesia mempunyai banyak persamaan dari pelbagai perkara seperti bahasa, budaya dan bahkan juga dalam bidang masakan. Pasti anda perasan sesetengah masakan di Malaysia, ada yang mirip dengan masakan di Indonesia. Bercerita tentang kesamaan dalam kulineri dua buah negara ini, baru-baru ini Kak Bell berkesempatan berkunjung ke kafe yang menyajikan mi segera Indonesia, Indomie. Menu dikafe ini telah diolah semula dengan kombinasi baru (food fusion), cita rasa baru bagi menawarkan pengalaman makan yang baru sesuai dengan citarasa masyarakat tempatan.


Siapa yang tidak kenal salah satu makanan yang boleh dikatakan makanan ikonik Indonesia iaitu Indomie. Jika di Malaysia, menu Indomie goreng bersama telur mata memang mudah didapati di kebanyakkan restoren mamak. Menyedari bahawa tiada restoren atau kafe di Malaysia dengan membawa konsep makanan jalanan Indonesia, Encik Edzaham Syafiq bersama rakannya memulakan idea menubuhkan Indobowl, sebuah kafe atau kopitiam dengan konsep street food pada harga yang berpatutan. Hidangan disini diilhamkan dari makanan jalanan di Indonesia bersama dengan bumbu (sambal) pedas istimewa mereka. Indobowl juga kini turut bekerjasama dengan pihak Indomie. Indobowl yang telah beroperasi sejak Jun 2017, kini mempunyai 2 buah outlet yang terletak di Lake Fields Sungai Besi dan di SS15, Subang Jaya.


Pertama kali berkunjung ke Indobowl Lake Fields, ruang makan disini amat santai dengan deko ringkas yang menarik. Ruang makan dan susunan perabot juga kemas dan memberi keselesaan pada pengunjung. Pengunjung boleh memilih untuk menikmati hidangan di ruang luar mahupun di ruang berhawa dingin di dalam kafe. Walaubagaimanapun, Kak Bell berpendapat meja makannya agak kecil tetapi bersesuaian dengan keluasan kedai bagi menjamin keselesaan para pengunjung.




Mi segera Indomie ini memang sesuai dipadankan dengan apa jua jenis lauk. Jika di Indonesia terdapat pelbagai menu yang menggunakan Indomie. Di Indobowl, menu Indomie dihidangkan dengan pelbagai jenis sambal (bumbu) Indonesia asli yang pedas dan menyelerakan. Selain menu mi, turut disediakan menu hidangan nasi dan hidangan sampingan lain seperti sate.


Nasi Ayam Madura
Untuk set ini ayamnya digrill ala Madura, ada telur mata dan datang dengan sos campuran masam manis, sos soya, bawang dan cili.

RM12

Nasi Goreng Ayam Balado
Menu ini datang dengan set nasi goreng, chicken chop grill, telur mata dan sambal merah istimewa Indobowl. Nasi gorengnya simple dan tidak terlalu pedas. Kekuatan menu ni pada ayam bersama sambalnya.

RM12

Indomie Jumbo Soto Seafood
Merupakan menu terbaru di Indobowl yang menggunakan Indomie Soto. Bagi peminat seafood bolehlah mencuba menu ini. Di dalamnya ada udang, sotong, bebola ikan, stik ketam, chicken chop dan telur separuh masak. Turut dicampur sekali sambal merah dengan rasa masam-masin pedas. Saiz hidangannya sesuai dimakan untuk 2-4 orang. Pada Kak Bell kuahnya agak cair dan rasanya kurang kuat berbanding rasa sajian Mi Tom Yam jalanan Thai. Mungkin pengunjung lain punya pendapat berbeza untuk rasa menu ini disebabkan Kak Bell hanya mencuba sedikit sahaja dari hidangan ini.

RM39.90

Indomie Ayam Balado
Indomie dihidang bersama dengan chicken chop, telur mata dan sambal merah istimewa Indobowl. Untuk menu ini juga boleh dihidang dengan sambal hijau/ijo. Kedua-dua sambalnya sedap dan sangat sesuai digandingkan dengan Indomie. Ayam grill juga lembut dan penuh rasa. Indomie ini, diantara menu pilihan Kak Bell disini.

RM10

Indomie Salted Egg Chicken
Bagi yang tidak suka makanan pedas, boleh mencuba menu ayam dengan rasa telur masin. Pasti ramai yang menyukai perasa salted egg ini. Ayam tanpa tulang digoreng ranggup ini merupakan menu paling laris dan digemari oleh pelanggan di sini. Must try!

RM11.90

Dalam kesemua menu, Kak Bell lebih menggemari hidangan kombinasi Indomie kering (tanpa kuah) dengan ayam dengan sambal berbanding set nasi. Untuk menu pilihan Kak Bell pilih Indomie Salted Egg Chicken dan Indomie Ayam Balado/Indomie Ayam Ijo. Recommended untuk anda cuba!

Untuk menu-menu lain anda juga boleh mencuba Nasi Dendeng Daging (RM12), Nasi Iga (RM12) dan Nasi Ayam Cabe Ijo (RM10). Jika hendak menu lebih istimewa, anda boleh cuba Indomie Rib Eye/Lamb Rack Stik Australian (RM19). Sebagai menu tambahan, Kak Bell turut mencuba Sate Madura Ayam (RM8) dan Sate Madura Daging (RM9). 1 set sate tersebut datang dalam 5 cucuk. Bagi sate, Kak Bell lebih menggemari sate ayam berbanding sate dagingnya yang kurang lembut. Walaubagaimanapun, kedua-duanya, masih enak untuk dicuba.


Pendapat Kak Bell setelah mencuba menu Indomie di Indobowl, makanannya rata-rata memuaskan dan sangat sedap. Kombinasi lauk bersama dengan sambal signature mereka sangat cocok dan memenuhi citarasa! Wajib berkunjung ke sini untuk menikmati kepelbagaian sajian Indomie. Terus-terang, Kak Bell akan datang lagi untuk mencuba menu yang lain.

INDOBOWL Lake Fields
72, Jln Tasik Utama 7, 
Lake Fields Sungai Besi, 
57000 KL

INDOBOWL SS15
66, Jalan SS 15/4C, SS15
47500 Subang Jaya

Masa operasi: Isnin–Ahad (11.00AM–10.30PM)
Hubungi : indobowl@gmail.com atau 0195426869


CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment

Back
to top